Ticker

6/recent/ticker-posts

“Kami akan beritahu masyarakat di tempat kami bahawa orang bukan Islam di Kelantan hidup bahagia.”

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 21 Oktober - Ketua Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP) Negeri Perak, Surianarayanan a/l Sannasy Naidu mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan terutama Exco Perpaduan Masyarakat kerana memberi peluang kepada rombongan untuk melihat dan mengetahui bagaimana cara kerajaan negeri menjaga orang bukan Islam.

Surianarayanan menyampaikan ucapan mewakili ahli rombongan di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan

"Terima kasih kepada kerajaan dan exco yang berkenaan kerana sudi beri ruang kepada kami untuk melihat dan mengetahui cara kerajaan Kelantan menjaga masyarakat bukan Islam di negeri ini. Kami akan beritahu masyarakat di tempat kami bahawa orang bukan Islam di Kelantan hidup bahagia, gembira dan senang hati,” katanya ketika memberi ucapan sebagai wakil rombongan di Majlis Sarapan Pagi Bersama Menteri Besar Kelantan.

Lebih 200 ahli rombongan telah diraikan dalam majlis tersebut di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10 di sini semalam sempena Karnival Perpaduan Nasional Kelantan Model Perpaduan. Rombongan dijamu dengan hidangan menu ‘perpaduan’, iaitu nasi kerabu.


Sementara itu, Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menegaskan bahawa kaum minoriti yang hidup di negeri Kelantan tidak akan dipinggirkan dan akan menerima sama rata apa-apa bentuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan. 

Tambah beliau, sebarang bentuk bantuan daripada Kerajaan Negeri Kelantan akan diberikan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama, bahasa dan fahaman politik.

"Di Kelantan kita beri Kifalah kepada wasi yang meninggal dunia yang berumur 55 tahun ke atas tanpa mengira bangsa, agama, bahasa dan fahaman politik. Semua akan dapat jika mereka mendaftar tanpa perlu membuat sebarang bayaran. Wasi akan dapat RM1000 untuk pengurusan jenazah. Perkara ini sudah lama kita buat di Kelantan. 

"Kita juga ada beri bantuan beras al-It’am, gula, minyak dan keperluan asas lain secara bulanan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negeri Kelantan. Ini juga kita berikan tanpa mengira bangsa dan agama.


"Kita harap perkara sebegini dilebarkan di negeri negeri lain terutama di negeri-negeri yang kita tadbir. Kita boleh beri cadangan kepada negeri-negeri tersebut." 

Hadir sama meraikan para rombongan dari Terengganu, Pahang, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur  itu  Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong, YB Shaari Mat Yaman, ADN Gual Periok, YB Kamaruzaman Mohamad dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Dr. Nazmi Ghazali Azmi.


Post a Comment

0 Comments