Ticker

6/recent/ticker-posts

PASUKAN BOLA SEPAK ORANG ASLI BAKAL BERAKSI DI PIALA MENTERI BESAR - EXCO SUKAN

Oleh: Asri Hamat 

GUA MUSANG, 26 Oktober - Pasukan bola sepak orang asli bakal bersaing dengan 46 pasukan lain di kejohanan bola sepak merebut piala Menteri Besar yang dijangka berlangsung pada November ini.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad berkata, penyertaan pasukan orang asli dalam piala Menteri Besar kali ini adalah sebagai pasukan jemputan khas. 

"Sebelum ini hanya ada satu pasukan jemputan dalam kejohanan bola sepak piala Menteri Besar iaitu pasukan antara kaum yang mewakili kaum di negeri Kelantan. Pada tahun ini kita akan tambah satu lagi pasukan jemputan iaitu pasukan orang asli. 

"Saya sudah berbincang dengan Ustaz Rizwadi untuk menguruskan pasukan orang asli bagi menyertai kejohanan bola sepak piala Menteri Besar pada tahun ini." 

Beliau berkata demikian di majlis penyampaian hadiah kejohanan bola sepak terbuka orang asli di padang bola sepak Pos Pasik, Gua  Musang, pada Khamis. 

Pada Rabu dan Khamis lepas telah dianjurkan kejohanan bola sepak sembilan sebelah terbuka orang asli di padang bola Pos Pasik. Kejohanan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan apabila berjaya menarik sebanyak 17 pasukan yang terdiri daripada orang asli dari beberapa kawasan, antaranya Lojing, Pos Hendrop, RPS Kuala Betis, Kuala La, Kuala Wok, Pos Belau dan tuan rumah Pos Pasik. 

Dengan penganjuran kejohanan tersebut, YB Zamakhshari telah mengotakan janji beliau untuk menganjur satu kejohanan bola sepak dalam kalangan orang asli yang pernah beliau sebut pada Ogos lepas. 

Dalam kejohanan tersebut pasukan orang asli Lojing muncul juara selepas menewaskan Pos Hendrop dengan keputusan 3 gol tanpa balas. Selaku johan, pasukan orang asli Lojing membawa pulang wang tunai RM1000 dan piala, manakala pasukan orang asli Pos Hendrop selaku naib johan menerima wang tunai RM800 serta piala. Pasukan Jenut FC (RPS Kuala Betis) mendapat tempat ketiga, menerima wang tunai RM500 serta piala. Hadiah disampaikan oleh Penyelia Dewan Negeri Nenggiri, Rizwadi Ismail. 

Kejohanan ini adalah bertujuan untuk mencari bakat dari golongan orang asli untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Post a Comment

0 Comments