Ticker

6/recent/ticker-posts

20 GURU YIK DIHANTAR BERKURSUS KEMAHIRAN PENGAJARAN BAHASA ARAB DI MESIR

Oleh: Asri Hamat 

KOTA DARULNAIM, 5 November- Seramai 20 guru di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dihantar berkursus berkaitan perkembangan kemahiran pangajaran Bahasa Arab di Pusat Bahasa Taalim Tullab Wafiddin wal-Ajnabi, Universiti al-Azhar Mesir bermula dari 3 hingga 14 November 2024.

Program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Yayasan  Kelantan Darulnaim (YAKIN) itu dirasmikan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat pada Isnin.

Dato’ Wan Roslan berkata program berkenaan bertujuan membangunkan strategi pengajaran Bahasa Arab yang berkesan dan disesuaikan mengikut keperluan pelajar bukan penutur asli Bahasa Arab.

Katanya, guru-guru akan didedahkan kepada teknologi terkini dan kaedah moden pengajaran yang mampu merangsang pemikiran kritis dan kreatif, serta menyediakan pelbagai teknik pengujian berasaskan perkembangan teknologi semasa.

“Melalui pendekatan interaktif, kursus ini juga memberi fokus kepada pengajaran dua hala bagi meningkatkan komunikasi dalam Bahasa Arab selama 10 hari tempoh kursus.

“Kita harap, pengalaman intensif sebanyak 60 jam pembelajaran dengan pendekatan menyeluruh ini membolehkan guru-guru berkongsi ilmu dan memperkukuh kefahaman budaya, sejarah, dan pengetahuan umum yang terkait Bahasa Arab.

“Kursus ini akan diadakan setiap tahun sebagai langkah jangka panjang untuk mempertingkatkan tahap kecekapan guru dalam pengajaran Bahasa Arab,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Bahasa Tatweer Taalim Tullab, Universiti al - Azhar, Dr. Nahlah Asso'idi dalam ucapan alu-aluannya pada majlis perasmian itu menzahirkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas kecaknaan dan kepekaan terhadap kemahiran guru dan pendidikan pelajar di Kelantan.

Beliau juga berharap program itu membantu para guru YIK untuk merancang dan mengaturkan kelas-kelas dan program-program seumpama ini bagi melahirkan para pelajar yang mahir bercakap dan memahami bahasa Arab.

Menurutnya, dengan menguasai bahasa Arab akan memudahkan untuk menghafaz dan memahami isi kandungan Al-Quran.

"Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran dan bahasa Rasulullah SAW, kalau kita cintakan Rasulullah maka kita kena menguasai bahasa Arab. Ia akan menjadi kelebihan tersendiri kepada kita.

"Dengan menguasai bahasa Arab juga, mudah bagi kita untuk menghafaz, memahami dan mengajar isi kandungan al-Quran seterusnya diamalkan dengan sebaik-baiknya. Ini akan menjadikan Islam sentiasa dijaga dan dijulang tinggi," katanya.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah YAKIN Dato' Abdullah Yakub, Timbalan Pengarah YIK (Kenaziran), Ustaz Shukri Husin dan Penolong Pengarah YAKIN (Pinjaman, Biasiswa dan Bantuan) Rosfanizam Din.

Post a Comment

0 Comments