Ticker

6/recent/ticker-posts

Kelantan cuba dipalit imej negetif

 


Oleh ARUS LEBIR 

SEKALI lagi Kelantan cuba dipalitkan dengan imej negetif. Kali ini pihak polis dilapor mendedahkan ramai anak muda berhibur di Pekan Golok pada hujung minggu.

Menurut laporan media ramai anak muda dari Kelantan berkunjung ke Golok terutama pada Jumaat dan Sabtu untuk berhibur.

Disebut juga mereka menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram untuk berhibur di sana. Selain itu dipercayai menikmati dadah ditawarkan di pusat-pusat hiburan.

Situasi tersebut berlaku di mana-mana negeri yang bersempadan dengan negara jiran. Ia bukan perkara pelik. Persoalannya adakah isu tersebut didedah bagi meletak premis kesalahan di bahu kerajaan negeri.

Ia sebenarnya bergantung siapa yang mengulasnya. Kalau musuh politik, sudah tentu ia seumpama bola tanggung. Ada pihak akan membuat smash dengan memukul kencang ke kaki PAS.

Bagi berlaku adil cuba kita belek sejarah. Sebelum PAS mentadbir Kelantan pada 1959, di Kota Bharu penuh dengan pusat hiburan. 

Ketika itu ada Biariz Park di Wakaf Siku. Di situ terdapat permainan makyong, menora, wayang kulit, maksiat, judi dan pelbagai lagi perkara mungkar.

Lokasi tersebut kepunyaan Tengku Sri Maharaja, ayah kepada veteran Umno Kelantan. Dan selepas berjaya mentadbir Kelantan pada 1959, kerajaan PAS menamatkan semua jenis lesen premis tempat hiburan. 

Menurut bekas anggota Exco kerajaan negeri Mohd Amin Yaakub, pada peringkat awal peraturan ditetapkan kerajaan negeri ditentang Penasihat Undang-Undang Negeri yang dihantar dari Kuala Lumpur.

“Alasannya kerajaan negeri boleh didakwa syarikat Biariz Park, namun kerajaan negeri tetap berkeras. Biariz Park terus beroperasi kerana kerajaan negeri tidak mendapat kerjasama pihak polis.

“Namun beberapa lama kemudian Biariz Park akhirnya ditutup hasil gerakan dakwah dan kerajaan negeri menggunakan bidang kuasa yang ada,” katanya pada buku Sejarah Pemerintahan PAS Kelantan 1959-1990.

Berulang 

Fenomena serupa berulang semula selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1978 setelah Umno menang di Kelantan. Makyong, menora dan permainan berunsur khurafat subur semula.

Dan selepas PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah sekali lagi kembali mentadbir Kelantan, amalan khurafat dan perkara bercanggah dengan Islam diharamkan semula. 

Kerajaan Angkatan juga mengharamkan premis judi dan pusat hiburan. Ekoran itu geger ada rakyat Kelantan ke negeri jiran untuk berjudi. Malah aktiviti berjudi secara haram juga dikesan berlaku.

Dan hari ini sekali lagi ada pihak mendedahkan ramai anak muda Kelantan pergi berhibur di Golok. Bukan salah ibu mengandung. 

Mengulas isu tersebut Timbalan Menteri Besar Dr Mohamed Fadzli Hassan menafikan disebab di Kelantan tiada hiburan menyebabkan penduduk tempatan keluar mencari hiburan di tempat lain.

Katanya kewujudan banyak pangkalan haram tersebut menyebabkan ada pihak mengambil jalan mudah menyeberangi Sungai Golok untuk ke negara jiran.

Bagaimanapun katanya pihak keselamatan sentiasa mengadakan kawalan di sepanjang sempadan, namun masih ada pihak menggunakan pangkalan haram. 

Tak kan kerana nila setitik kita hendak salah susu sebelanga. Malah di awal kebangkitan Islam, mereka yang mengingkari arahan agama ada di mana-mana.

Ketika zaman Rasulullah SAW, ada individu bernama Abu Jahal dan Abu Lahab. Mereka terkenal dengan kebencian terhadap Islam. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat Islam jatuh.

Maka tidak hairan di zaman sekarang yang penuh pancaroba dan mehnah. Sedangkan kerajaan Kelantan sudah melaksanakan pelbagai polisi dan dasar bagi kemakmuran rakyat.

Sekiranya masih ada seorang dua yang ingkar, ia bukan perkara aneh. Lebih pelik lagi mengapa majoriti negeri di Malaysia tidak juga mengharamkan premis judi dan pusat hiburan. 

Mengapa pusat judi dan hiburan masih dibiarkan di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak. Di negeri terbabit anak muda masih boleh berhibur dan mengunjungi premis judi. 

Bukan sekadar Sungai Golok, di negara kita pun masih berlambak pusat hiburan kecuali di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Ini isunya.

Premis kesalahan boleh dihala kepada kerajaan Kelantan sekiranya tidak ada program atau agenda bagi mendidik rakyat dengan acuan agama. 



Sedangkan di negeri itu ada program bulan solat, hari hudud dan pelbagai lagi aktiviti berpaksi agama. Semuanya dibentuk di bawah acuan Membangun Bersama Islam. Inilah realitinya.

Post a Comment

0 Comments