Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 2 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dengan kerjasama Radio Manisfm akan menyiarkan siri pengajian agama berjadual bermula esok.
Program rohani itu bertujuan memperkukuh kefahaman agama masyarakat.
Pengarah UPKN, Razuan Awang Hamad, berkata inisiatif tersebut selari dengan komitmen kerajaan negeri dalam memperluas akses pendidikan Islam secara menyeluruh dan menyasarkan golongan pendengar di negeri ini serta kawasan sekitarnya.
"Program ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri untuk menjadikan ilmu agama sebahagian daripada rutin harian masyarakat.
"Ia menawarkan peluang kepada pendengar untuk mendengar kuliah dari tokoh-tokoh agama berwibawa selepas mengikuti kuliah di Medan Ilmu pada pagi Jumaat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Siri pengajian itu akan menampilkan tiga segmen utama iaitu "Hijrah Hour", "Siratun Najah", dan "Fajar Iman", yang akan disiarkan melalui frekuensi 90.6 fm (Kelantan), 102.0 fm (Terengganu), 95.1 fm (Pahang Timur), dan 103.8 fm (Pahang Tengah).
Pendengar juga boleh mengakses program berkaitan menerusi aplikasi Sweet+ dan Audio+.
Segmen "Hijrah Hour" dijadualkan bersiaran setiap Jumaat pukul 10.00 pagi selama 30 minit.
Pengisiannya akan disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dengan kupasan Tafsir Surah Al-Fatihah.
Seterusnya, segmen "Siratun Najah" akan ke udara pada pukul 12.30 tengah hari selama 15 minit, dikendalikan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Ustaz Mohd Asri Mat Daud.
Beliau akan membahaskan kitab Ar-Rasulul Mu’allim wa Asalibuhu fi Ta’lim karya Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.
Sementara itu, segmen "Fajar Iman" akan memulakan siarannya pada 5 Januari, disiarkan setiap Ahad hingga Khamis pada pukul 6.30 pagi selama 10 minit.
Pengisiannya akan disampaikan oleh Mantan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam, JAHEAIK Ustaz Mohamad Suhaimi Mohamed yang memfokus kitab Penyuluh Pergaulan Dalam Rumahtangga.
Sehubungan itu, Razuan menyeru masyarakat Kelantan dan pendengar lain untuk memanfaatkan peluang tersebut bagi mendalami ilmu agama secara konsisten.
"Siri pengajian ini mampu memupuk kefahaman agama dan mendekatkan masyarakat dengan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian," katanya.
0 Comments