KOTA BHARU: Dewan Ulama PAS Pusat mengekalkan kepimpinan lama pada pemilihan bagi sesi 2025-2027 sempena muktamar di Alor Setar tidak lama lagi.
Kemenangan tanpa bertanding menunjukkan pimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat lebih mengutamakan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) tidak lama lagi.
Ketua Penerangannya Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, semua calon yang dicalonkan untuk pemilihan AJK bagi sesi kali ini terpilih secara automatik apabila jumlah nama yang dikemukakan mencukupi dan tidak melebihi jumlah jawatankuasa yang ditetapkan.
“Maknanya kesemua mereka menang tanpa bertanding. Mereka secara automatik terpilih untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam parti sebagaimana yang diamanahkan,” katanya kepada media semalam.
Menurut beliau, bagi tahun 2025 justifikasinya persediaan menghadapi PRU-16 di mana ramai penganalisis mejangka akan berlangsung pada 2026
Tambah beliau, ketiadaan pertandingan juga mampu mengekalkan suasana harmoni, mengurangkan jurang pertembungan dalaman serta memberi tumpuan kepada tugasan lebih besar.
“Kebiasaannya bila ada pertandingan, sedikit sebanyak pasti berlaku kekhilafan. Dengan tidak berlakunya pertembungan kali ini, tumpuan boleh diberikan sepenuhnya kepada gerak kerja persediaan PRU,” katanya.
0 Comments