505 keluarga di Kepulauan Tumpat dapat manfaat air bersih


Oleh: Syamimi Manah

TUMPAT, 11 Disember – Projek Sistem Pressure Filter di Kampung Laut kini meningkatkan kualiti bekalan air buat 505 keluarga melibat tujuh kampung di Kampung Pulau Seratus, Kampung Pulau Beluru, Kampung Teluk Renjuna, Kampung Chat, Kampung Pulau Besar, Kampung Pulau Gorek dan Kampung Sungai Pinang serta kawasan sekitarnya.

Mantan Menteri Besar Kelantan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Pekan YB Dato' Bentara Kanan Dato' Ahmad Yaakob bersama Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Saizol Ismail mengadakan lawatan kerja ke Tapak Tangki/Telaga Kampung Laut bagi meninjau projek tersebut, hari ini.

Turut bersama dalam lawatan itu ialah ADN Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan dan ADN Wakaf Bharu YB Rusli Abdullah.


Projek yang bernilai RM400,000 itu dilaksanakan oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) melalui bantuan Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan (JSANK).

Dato’ Ahmad Yaakob memaklumkan bahawa kerajaan sentiasa berusaha untuk menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan.

“Selama ini kita memang ada masalah tak cukup air dan masih juga berlaku sekarang. In Shaa Allah dengan proses ini kita dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk di kepulauan Tumpat dan sekitar.

Mantan Menteri Besar Kelantan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Pekan, YB Dato' Bentara Kanan Dato' Ahmad Yaakob

"Kita sentiasa berusaha menyelesaikan masalah air tetapi tidak secara automatik, makan masa. Seperti mana projek di Kampung Pengkalan Nangka, Tumpat, tapak sudah ada, kita tunggu tender, Insya-Allah akan diselesaikan secara berperingkat,” katanya.

Timbalan Pengurus Besar Operasi dan Teknikal AKSB Azlee Aladin memaklumkan bahawa AKSB telah membina dua unit telaga tiub untuk menambah bekalan air. Bagaimanapun, air daripada telaga tiub itu mengandungi kandungan ferum yang tinggi dan tidak sesuai disalurkan terus kepada pengguna.


Bagi mengatasi masalah tersebut, satu unit penapis tekanan telah dibangunkan bagi memastikan air yang diproses mencapai piawaian kualiti. Projek itu mengambil masa tiga bulan bermula pada 15 Ogos 2025 dan siap sepenuhnya pada 16 November 2025.

Selain projek yang telah siap, AKSB turut memaklumkan dua projek lain bagi memperkukuhkan sistem bekalan air di Tumpat, iaitu pembinaan telaga baharu di Medan Telaga LRA Wakaf Bharu yang kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2026, serta pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Pengkalan Nangka yang sedang dalam peringkat reka bentuk dan disasarkan siap pada tahun 2029.

Post a Comment

0 Comments