Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU: Rakyat Kelantan disaran memanfaatkan baki Ramadan dengan memperbanyakkan amal ibadat, khususnya pada 10 malam terakhir yang penuh keberkatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, umat Islam kini berada pada fasa terakhir Ramadan yang amat dinantikan kerana terdapat malam istimewa yang menjanjikan ganjaran pahala besar daripada Allah SWT.
“Ramadan menjadi ruang untuk kita bermuhasabah, merenung kembali segala nikmat dan kurniaan Allah serta menanam azam untuk memperbaiki diri,” katanya ketika merasmikan Program Yayasan PETRONAS: Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri 2026 di sebuah hotel di sini malam tadi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS yang terus komited membantu masyarakat melalui pelbagai inisiatif kebajikan.
Katanya, di Kelantan seramai 400 penerima dipilih menerima sumbangan menerusi program berkenaan, manakala secara keseluruhan seramai 4,850 penerima di 13 negeri serta tiga Wilayah Persekutuan turut menerima manfaat yang sama.
Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, pada tahun ini sumbangan disalurkan kepada penerima di empat jajahan iaitu Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Bachok.
Menurutnya, setiap keluarga menerima pek perayaan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti minyak masak, beras, bihun, gula, tepung, garam, kari ayam dalam tin, teh serta minuman coklat malta.
Selain itu mereka turut menerima barangan bertemakan Aidilfitri seperti kacang tanah, biskut raya, beras pulut, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang.
“Program Memacu Kehidupan: Aidilfitri mencerminkan komitmen berterusan Yayasan PETRONAS untuk membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Program tersebut hasil kerjasama Yayasan PETRONAS dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

0 Comments