GUA MUSANG: Biarpun hampir 47 tahun mengusahakan ladang sawit di Jeram Tekoh, namun peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) belum lagi dapat memiliki ladang secara sah.
Ladang seluas 10 ekar diagih kepada setiap peneroka ketika berhijrah ke Jeram Tekoh pada 1979, namun sehingga sekarang belum lagi dikeluarkan geran hak milik.
Lebih menyedihkan lagi sebahagian besar peneroka awal sudah meninggal dunia, dan ladang tersebut diwarisi anak-anak mereka.
Ia jelas bertentangan dengan hasrat bekas Perdana Menteri, Tun Razak Hussien membuka FELDA dan rancangan kemajuan tanah lain bagi mengubah kehidupan penduduk miskin, namun bagi peneroka Kesedar impian itu masih kelam.
Menurut peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri Ogos 2024, ada beberapa peneroka diserah geran sekadar gimik pada majlis yang diadakan ketika kehadiran menteri.
Peneroka terbabit termasuk dari Paloh 3 dan Renok menerima sekejap geran pada majlis yang dihadiri menteri.
Seorang peneroka Hadi Daud dari Jeram Tekoh berkata, geran hanya diserah kepada peneroka seketika pada majlis berkenaan, kemudian diambil balik pihak berkenaan.
Katanya, peneroka tersebut mendesak Kesedar menyerah semula geran yang diterima mereka pada majlis yang dihadiri menteri sebagai membuktikan pemilikan tanah secara sah.
Kerajaan negeri sebelum ini telah menyerah geran hak milik lot kediaman kepada peneroka Kesedar di beberapa tempat termasuk Lebir, Renok B dan Sungai Asap A.
Bagaimanapun difahamkan sebahagian besar tanah yang diusahakan peneroka belum diserah oleh Kesedar kepada kerajaan negeri untuk proses pengeluaran geran hak milik.
Yang Dipertua PAS Gua Musang Azman Ahmad berkata, butiran lengkap tanah-tanah ladang yang diurus di bawah Kesedar perlu diserah kepada kerajaan negeri untuk membolehkan geran hak milik dikeluarkan kepada peneroka.
“Namun apa yang berlaku saya difahamkan maklumat tanah tersebut masih lagi berada dalam simpanan Kesedar dan belum lagi diangkat kepada pihak berkuasa negeri,” katanya di sini.



0 Comments