Pengundi Cina tolak PH bermula PRK Sungai Bakap

 

Oleh Aslani M |

KOTA BHARU: Kemerosotan pengaruh Pakatan Harapan (PH) mulai dikesan lebih dua tahun lalu ketika berlangsung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Pada PRK yang diadakan pada Jun 2024, calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail mengalah calon Pakatan Harapan (PH), Joohari Ariffin dengan majoriti 4,267 undi.

PN berjaya mengekalkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos 2022 dengan majoriti lebih besar.

Naib Presiden PAS Dato’ Sri Amar Diraja Mohd Amar Abdullah berkata, kemerosotan pengaruh PH dikesan pada PRK tersebut apabila sebahagian pengundi Cina menolak calon PH.

Katanya, gerakan pengundi Cina mulai menolak PH dikesan berlaku di Sungai Bakap apabila sebahagian besar mereka tidak keluar mengundi.

“Penolakan pengundi Cina terhadap PH semakin jelas pada PRN Sabah tahun lepas apabila DAP gagal mempertahankan sebarang kerusi pada pilihan raya tersebut.

“Situasi yang berlaku itu berulang semula pada PRN Johor dan Negeri Sembilan,” katanya pada tazkirah Maghrib sempena Konvensyen PAS Kelantan di PUTIK malam kelmarin.

Konvensyen tersebut diadakan sebagai persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Setiausaha PAS Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dan pimpinan PAS seluruh Kelantan serta wakil-wakil rakyat.

Mohd Amar juga berkata, sebelum ini ada pihak tidak yakin kemampuan PAS mentadbir negeri atau negara.

Namun kata beliau, telahan itu jelas meleset apabila PAS berjaya mentadbir Kelantan sejak 1959 dan kemudian menerajui kerajaan di Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Malah ada orang Cina mulai berusaha untuk mendapat gambaran lebih jelas tentang PAS setelah sekian lama mereka dimomok dengan gambaran negetif oleh DAP.

“Ada yang berjinak untuk mendekati PAS kerana melihat pada masa akan datang peluang PAS mentadbir Putrajaya begitu cerah selepas parti-parti lain gagal setelah diberi peluang,” katanya.

Ustaz Ahmad pula berkata, konvenyen tersebut diadakan bagi membuat persiapan awal untuk menghadapi PRU16 tidak lama lagi dan membolehkan petugas pilihan raya memahami senario politik semasa.

“Kesempatan bertemu seluruh jentera PAS Kelantan, saya merakam ucapan terima kasih, syabas dan tahniah atas komitmen luar biasa yang diberikan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini. Semoga dikurniakan kebaikan atas jihad dan khidmat bakti yang dicurahkan,” ujarnya.


Post a Comment

0 Comments