KOTA BHARU: Seramai 100 golongan asnaf berjaya melepasi Paras Garis Kemiskinan (PGK), apabila berjaya dalam perniagaan sejak diceburi mereka beberapa tahun ini.
Sebahagian daripada mereka kini berkemampuan menunaikan zakat hasil bimbingan keusahawanan menerusi Program Kemahiran Preneur Hijrah sepanjang tempoh lima tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MyREF), Mohd Khairuddin Rais berkata, pencapaian tersebut melibatkan peserta dari Kelantan, Kedah, Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Menurutnya, bimbingan secara berterusan yang diberikan kepada peserta bagi membantu mereka memperkukuh operasi perniagaan untuk meningkatkan hasil jualan.
“Daripada keseluruhan peserta, terdapat 2.5 peratus kini memperolehi pendapatan sehingga melayakkan mereka membayar zakat.
“Ini menunjukkan usaha membimbing golongan asnaf melalui pendekatan keusahawanan mampu membantu mereka meningkatkan taraf ekonomi dan keluar daripada kelompok kemiskinan,” katanya kepada media pada Majlis Graduasi Program Kemahiran Preneur Hijrah di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Unit Pembangunan Insan, Pejabat Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Rafie Yusof
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama RHB Islamic Bank Berhad dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Mohd Khairuddin berkata, MyREF selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama dengan setiap majlis agama sejak 2020 bagi mengenal pasti golongan asnaf yang telah atau sedang menjalankan perniagaan.
Katanya, peserta bukan sahaja diberikan latihan, malah turut dibimbing berdasarkan tugasan dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi membantu mereka memperluas serta memperkukuh perniagaan.
“Setiap peserta diberi bimbingan mengikut keperluan perniagaan mereka. Kita juga membuat pemantauan lapangan bagi melihat perkembangan operasi, pengurusan perniagaan serta sejauh mana ilmu yang dipelajari diaplikasikan,” katanya.
Beliau juga berkata, pendekatan pemantauan tersebut penting bagi memastikan ilmu yang diperolehi sepanjang program benar-benar diterjemahkan dalam pengurusan perniagaan.Sementara itu, Ketua Pegawai Pembangunan MAIK, Ahmad Hakim Harun berkata, pelaksanaan program berkenaan membantu masyarakat, khususnya golongan asnaf meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan.
Menurutnya, program tersebut turut dilaksanakan melalui pendekatan wakaf serta kerjasama pelbagai pihak yang turut bertepatan dengan hasrat MAIK dan kerajaan negeri.
“Kita amat menghargai kerjasama dan sumbangan pihak RHB Islamic dalam menjayakan program ini. Kerjasama ini sangat penting kerana nilai ukhuwah dan kebersamaan yang dibina jauh lebih besar daripada sekadar pelaksanaan sesebuah program,” katanya.
Beliau berkata, usaha membantu masyarakat perlu diteruskan mengikut kemampuan masing-masing sebagai pengorbanan dan tanggungjawab sosial.
Beliau turut berharap program berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan memperkukuh kerjasama yang telah terjalin antara pihak terbabit.

0 Comments