KOTA BHARU: Seluruh jentera pilihan raya di setiap peringkat perlu dipersiapkan pada tahap paling maksimum dan mematuhi arahan serta tindakan yang ditetapkan Jabatan Pilihan Raya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PRU16 boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
Katanya, mengenai pemilihan calon pilihan raya hendaklah memenuhi kriteria untuk mengisi kemenangan, terutamanya memiliki sifat istiqamah dengan parti, berintegriti dan berpengaruh dalam masyarakat.
“Jentera penerangan hendaklah mengikuti perkembangan semasa bagi mendekati segmen pengundi serta mengumpulkan lebih ramai pempengaruh dan pengolah kandungan untuk menyampaikan maklumat dan pendirian parti.
“Ini memandangkan berlaku perubahan teknologi dan platform media berubah dengan pantas, maka pastikan setiap naratif yang dibina sampai kepada sasaran,” katanya pada Ucapan Dasar sempena Muktamar PAS kali ke-72 di Dewan Tok Guru, Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) hari ini.
Menurutnya kaedah penyampaian hendaklah dipastikan berkesan serta berupaya menjawab dan menerangkan setiap isu dengan pantas, tepat dan meyakinkan.
Tema muktamar PAS kali ini ‘Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan’.
Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, PAS dikurniakan pertolongan (nusrah) dengan memenangi 43 kerusi parlimen dan 149 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta mentadbir empat negeri.
Di samping itu kata beliau melebarkan pengaruh di beberapa negeri pantai barat dan selatan tanah air.
“Kita wajib mengisi kemenangan sekadar kemampuan yang dicapai, walaupun tidak berjaya sepenuhnya. Cabarannya jauh lebih besar daripada mencapai kemenangan.
“Maka muktamar PAS hari ini begitu penting sebelum menghadapi PRU16. Muktamar yang akan menegaskan hala tuju PAS, mempersiapkan parti untuk mengisi kemenangan, seterusnya mengorak langkah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau juga berkata, kemenangan bukan ruang untuk bermegah dengan kekuasaan, sebaliknya kuasa pemerintahan untuk memakmurkan bumi berpandukan petunjuk Allah SWT.
Menurutnya berbekalkan pengalaman dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan pengalaman mentadbir kerajaan negeri, PAS melalui proses yang memberi kematangan dalam memahami realiti pemerintahan.
Beliau juga berkata, Negara Berkebajikan merupakan sebuah negara yang pemerintahannya berpandukan petunjuk Allah SWT, berteras iman dan taqwa serta ditegakkan atas prinsip keadilan kepada semua.
“Kebajikan dilaksanakan secara menyeluruh dalam aspek politik, ekonomi dan sosial bagi mewujudkan kesejahteraan serta keberkatan hidup di dunia sehingga akhirat
“Negara berkebajikan bukan ‘welfare state’ yang mengukur kebajikan melalui bantuan kebendaan kerajaan semata-mata,” ujarnya.
Sebaliknya kata beliau ia menyepadukan pembangunan material dengan pembangunan insan secara menyeluruh meliputi jasad, akal dan roh, sehingga terbentuk masyarakat sejahtera.



0 Comments