Muslimat perlu juarai isu rakyat

 

KOTA BHARU: Muslimat disaran menguasai isu rakyat serta pelbagai permasalahan yang berlaku dalam masyarakat dan tidak hanya mengutamakan perkara berkaitan politik semata-mata.

Naib Presiden PAS Dato’ Idris Ahmad berkata, terdapat isu dalam masyarakat termasuk keluarga miskin, anak terabai daripada pendidikan dan wanita mangsa keganasan rumah tangga.

Selain itu golongan OKU juga memerlukan perhatian kerana mereka berdepan dengan kesempitan hidup.

“Penting kita turun padang menemui rakyat bagi memahami kehidupan mereka,” katanya ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat Kali Ke-66 di Kompkes Pendidikan Islam Bachok hari ini.

Hadir sama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh; Timbalan Ketua, Dr Rosni Adam dan Naib Ketua, Ustazah Salamiah Mohd Nor.

Idris juga berkata, muslimat perlu celik teknologi maklumat dan digital memandangkan masyarakat sekarang mendapatkan maklumat melalui media baharu termasuk TikTok, Facebook, Instagram, YouTube dan Podcast.

Menurutnya dengan menguasai teknologi tersebut membolehkan muslimat membentuk pemikiran masyarakat dengan kemahiran digital.

Kata beliau setiap pendukung PAS perlu menguasai teknologi komunikasi yang kini semakin berkembang pesat.

“Kepercayaan masyarakat boleh diraih apabila kita menyatuni mereka secara berhemah dan menguasai komunikasi dengan berkesan yang berpijak pada realiti kehidupan rakyat,” katanya.

Sementara itu Ustazah Nuridah berkata, jaringan muslimat muda perlu diperkukuhkan bagi membentuk pemikiran masyarakat dan membolehkan mereka terlibat sebagai penggubal dasar.

Kata beliau juga perjuangan mesti diteruskan biarpun muktamar dilabuhkan selepas ini.

“Hidupkan tarbiah laksanakan apa yang telah diputuskan dalam muktamar. Kita juga kena tanya kepada diri sendiri apakah yang boleh aku beri kepada Islam, kepada rakyat dan negara,” katanya.

Tema muktamar Dewan Muslimat tahun ini ‘Islam Berdaulat Wanita Bermartabat’.

 

Post a Comment

0 Comments