Oleh Damia Hana |
KOTA BHARU: Pendikir
tersohor Kelantan, Jen Endoro yang mengidap
penyakit angin ahmar sejak empat tahun lalu kini tidak mampu lagi bergerak, makan
sendiri dan bercakap.
Situasi itu berlaku selepas Mohd Zain Ismail, 66 mengalami angin ahmar kali kedua tiga tahun lepas. Beliau terkenal sebagai penyanyi dikir barat sejak tahun 1970-an dengan lagu Masliza, Anak Siapa Hok Lalu Tadi dan Jangan Ceroboh Hutan.
Anak perempuannya, Nur Farahin, 33 berkata, bapanya perlu dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian tiga bulan sekali untuk rawatan susulan.
Bagaimanapun, katanya, beliau dan adik-beradik tidak mampu untuk membayar tambang ambulans sebanyak RM250 bagi perjalanan pergi dan balik dari hospital.
“Kerana itu sejak setahun lalu ayah tidak lagi pergi ke hospital untuk membuat rawatan. Saya seorang suri rumah sepenuh masa dan mengharap pendapatan suami sebagai pengawal keselamatan.
"Kami sekeluarga hanya mampu menyediakan makan, minum dan lampin pakai buang untuk ayah," katanya ketika ditemui pada lawatan Adun Panchor, Dato’ Seri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah semalam.
Farahin berkata, beliau adik-beradik mengumpul wang untuk membeli lampin pakai buang dan susu berharga RM120 setin yang hanya boleh bertahan selama dua hari.
Menurutnya, mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk perbelanjaan bapa setiap bulan.
“Sebelum ini bapa masih boleh makan nasi seperti biasa. Sejak kebelakangan ini bapa akan tersedak jika makan nasi dan keadaan itu menyebabkan diberi susu khas,” ujarnya.
Beliau juga memberitahu kesihatan bapa makin merosot sejak kematian ibunya, Rohani Ramli pada Mei lalu.
Oleh itu orang ramai yang ingin membantu boleh menyalur sumbangan ke akaun Bank Islam Mohd. Zain di 03018022003970 atau menghubungi Mohammad Faris di talian 014-506 6445.



0 Comments