Oleh Norzana Razaly |
KOTA BHARU: Penjajaran politik terus berkembang di negara ini dan dijangka ia akan menjadi kenyataan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, penjajaran itu sebagai usaha untuk memenangi pilihan raya dan memperkukuh kuasa pemerintahan serta mempertahankan kawasan yang dimenangi sebelum ini.
Katanya, pendekatan itu menjadi sebahagian daripada strategi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dengan pengukuhan negeri-negeri yang dikuasai PAS di samping bergerak meneroka wilayah politik baharu.
“Teras strategi itu mempertahankan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang disifatkan sebagai ‘Negeri Pangkalan’ atau SG4 dengan setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenangi sebelum ini perlu dipertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Menurutnya, penguasaan di empat negeri berkenaan perlu terus diperkukuh menerusi pentadbiran yang berkesan, selain memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat.
Beliau juga berkata, pencapaian kerajaan negeri pimpinan PAS perlu disampaikan kepada rakyat secara jelas dan berkesan terutama bagi menjawab persepsi serta dakwaan pihak tertentu.
Kata beliau juga perancangan jangka panjang diterjemahkan menerusi beberapa dokumen termasuk Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) di Kelantan, Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) di Terengganu dan Pelan Strategik The Greater Kedah di Kedah.
PAS turut memperkenalkan Pelan Strategik Ekonomi dan Pembangunan Insan untuk Selangor Mampan (EHSAN) sebagai kerangka perancangan bagi negeri berkenaan.
“Pada masa sama memberi perhatian lebih besar kepada negeri di luar lingkungan kekuatan tradisi selepas perkembangan politik mutakhir memperlihatkan perubahan pola sokongan di beberapa wilayah,” ujarnya.
Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, PAS bersyukur dengan kejayaan melahirkan wakil rakyat sulung di Sabah selain mencatat pertambahan kerusi di Negeri Sembilan.
Katanya, PAS turut mengenal pasti Pahang, Perak dan Selangor sebagai antara negeri strategik yang berpotensi menyumbang kepada kekuatan parti pada pilihan raya akan datang.
Kata beliau tumpuan terhadap tiga negeri berkenaan membawa makna politik yang lebih besar kerana kejayaan menembusi kawasan dengan pola demografi, ekonomi dan kecenderungan pengundi yang berbeza.
“PRN Melaka dijangka menjadi antara ujian terdekat dan paling signifikan. Negeri berkenaan bukan sahaja menawarkan medan untuk mengukur keberkesanan gerak kerja parti malah boleh menjadi petunjuk awal penerimaan pengundi tengah, pengundi atas pagar dan masyarakat bandar menjelang PRU16.
“Perkembangan itu semakin mendapat perhatian selepas kerjasama politik antara parti pembangkang dan Umno pada PRN Negeri Sembilan menghasilkan perubahan besar dalam landskap politik negeri berkenaan,” ujarnya.
Beliau juga berkata, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dilaporkan bersetuju mengadakan rundingan bagi menghadapi PRN Melaka dalam aspek pembahagian kerusi.
Kata beliau Melaka berpotensi menjadi makmal politik seterusnya bagi menguji sama ada formula kerjasama yang muncul daripada perubahan penjajaran semasa.
“Keputusan di Melaka kelak boleh memberi gambaran awal sama ada PAS mampu bergerak daripada parti yang dominan di empat ‘Negeri Pangkalan’ kepada sebuah kekuatan politik yang mempunyai daya tarikan lebih meluas di peringkat nasional,” katanya




0 Comments