KERAJAAN NEGERI SENTIASA UTAMAKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT
KOTA BHARU - Program Pentas Rakyat telah memberi peluang kepada pemimpin turun padang bertemu rakyat berkongsi perkembangan dan program yang telah dirancang untuk kesejahteraan umum.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Dato' Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud ketika berucap mewakili YAB Menteri Besar Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob pada Majlis Kesyukuran dan Keraian Pentas Rakyat di Hotel H-Elite, semalam.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha melaksanakan dasar "Membangun Bersama Islam" (MBI) agar terus merakyat agar segenap lapisan masyarakat memahami dan turut membantu kerajaan negeri membudayakannya dalam kehidupan seharian.
"Dasar Islam yang dilaksanakan Kerajaan Negeri selama 32 tahun terbukti telah memastikan keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat.
Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai program kebajikan kepada rakyat seperti bantuan Rumah Dhuafat, Skim Kifaalah, bantuan beras Al-It'am, Skim Az-Ziwaj, bantuan usahawan, bantuan armalah, usahawan tani, usahawan belia dan lain-lain," katanya.
Tambahnya, sehingga kini Kerajaan Negeri Kelantan telah berjaya melaksanakan lebih 90 peratus manifesto kepada rakyat pada pilihan raya lalu.
"Kerajaan Negeri terus istiqamah dalam usaha memartabatkan syiar Islam menerusi pelbagai program, latihan dan bimbingan serta pendidikan untuk rakyat.
Kita percaya pelaksanaan program Komuniti Rabbani akan meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat apabila setiap lapisan rakyat memahami dan mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan," jelasnya.
Ujarnya lagi, Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan yang besar bagi tujuan pendidikan rakyat sehingga RM130 juta dan terus meningkat dari setahun ke setahun.
"Sepanjang tahun 2022, kita berjaya mengekalkan prestasi cemerlang pentadbiran negeri serta berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan berjaya mengekalkan prestasi cemerlang kewangan kerajaan negeri serta peningkatan prestasi kutipan hasil sehingga mencapai tahap 99.10 peratus dengan peningkatan sebanyak RM209.22 juta kepada RM983 juta.
Tumpuan juga diberikan kepada meningkatkan pelaburan domestik seperti Taman Perindustrian Tok Bali, Projek Pembangunan IBS Sungai Bagan dan Laman Warisan Kampung Laut yang bakal menjadi pilihan para pelabur sama ada dalam sektor industri, pembuatan dan pelancongan," katanya.
Berhubung perkara yang sama katanya, Kerajaan Negeri sentiasa meraikan masyarakat bukan Islam dengan membantu mereka dalam melaksanakan agenda kebajikan kepada rakyat non-Muslim.
Majlis kesyukuran kelolaan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu bertujuan merai agensi-agensi pusat dan negeri yang terbabit sama menjayakan lapan siri Program Pentas Rakyat di lapan lokasi bermula dari Dabong ke Tumpat.
Turut hadir, Timbalan Exco Penerangan, YB Ustaz Ahmad Fathan Mahmood, Pengarah UPKN, Kamaruzaman Mohamad dan wakil-wakil setiap agensi.
Ikuti berita dalam Buletin Darulnaim.
#ViraliyatBerita4ptg
(Feed generated with FetchRSS) ...
-Baca seterusnya...
2023-01-16 08:18:19
#semasa
#semasa
0 Comments