Pameran bunga ros di Pesta Flora Kelantan

Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 akan mengetengahkan pameran landskap pihak berkuasa tempatan (PBT) bertemakan ‘Laman Fantasi’, pameran bunga ros, paludarium dan bromeliad.

Selain itu turut dianjurkan pertandingan fotografi serta video pendek. Pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai produk dihasilkan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta florikultur.

Pesta Flora akan diadakan bermula 24 hingga 27 September ini di Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjung Chat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pesta berkenaan mengetengahkan keindahan flora dan landskap.

Katanya ia menjadi platform untuk memperkenalkan potensi industri florikultur kepada masyarakat.

Menurutnya penganjuran kali ini mengangkat tema ‘Alam Lestari, Komuniti Harmoni’ dengan pelbagai pengisian menarik, interaktif dan mesra keluarga.

“Penganjuran tahun ini memberi nilai tambah kepada usahawan tempatan, meningkatkan tarikan pelancongan serta menggalakkan minat masyarakat terhadap landskap dan penghijauan,” katanya pada sidang media di Kota Darulnaim hari ini.

Pesta Flora 2026 akan dirasmikan pada 24 September ini dengan keberangkatan Sultanah Kelantan. Ia dijangka menarik kira-kira 100,000 pengunjung sepanjang penganjurannya.

Penganjuran pameran melibatkan pelbagai jabatan kerajaan, agensi, pihak berkuasa tempatan dan usahawan.

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, pelbagai pertandingan dan aktiviti interaktif disediakan termasuk Pertandingan Busana Flora Kreatif dan Inovatif Peringkat Sekolah Rendah, pertandingan melukis dan mewarna kanak-kanak, kuiz serta aktiviti keluarga.

“Kelainan tahun ini disediakan Laman Unggas yang menyediakan pameran unggas dan pameran statik, petting zoo, jualan anak ayam warna-warni serta pelbagai aktiviti untuk pengunjung.

“Selain itu pameran landskap, bunga ros, paludarium, bromeliad, persembahan kebudayaan serta aktiviti usahawan IKS dan florikultur,” ujarnya.

Pengunjung turut berpeluang mengikuti Forum Perdana serta menyaksikan persembahan kebudayaan seperti dikir barat dan wayang kulit, cabutan bertuah dan kuiz.

 

 

Post a Comment

0 Comments