Ticker

6/recent/ticker-posts

PROJEK HIDROELEKTRIK NENGGIRI: ORANG ASLI DIJADUALKAN PINDAH MAC 2026

 


Oleh: Zaki Mustafa

GUA MUSANG, 12 Julai – Projek Hidroelektrik Nenggiri yang telah dimulakan pembinaannya sejak Mac 2022 akan  melibatkan pemindahan penduduk di tiga penempatan orang asli, iaitu di Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias. Lebih 1000 penduduk dari tiga kampung tersebut dijadual dipindahkan ke penempatan baharu pada Mac 2026.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Dr. Izani Husin dalam sesi lawatan kerja ke tapak projek berkenaan baru-baru ini menegaskan pihak kerajaan dan TNB telah mengambil kira aspek alam sekitar dan kepentingan masyarakat orang asli di situ.

“Dari segi pembinaan pula telah mengambil kira alam sekitar untuk ‘minimizekan’ kesan-kesan alam sekitar. Antara yang terkesannya, sebahagian orang asli tapi TNB telah mengambil inisiatif untuk bina semula (perkampungan) orang asli dengan penempatan baharu orang asli dengan rumah (bagi setiap keluarga)," tegas Dr. Izani.

Dalam sesi taklimat lawatan kerja berkenaan, telah dimaklumkan kawasan perkampungan orang asli di Pos Tohoi yang akan ditenggelamkan melibatkan sebanyak 191 Ketua Isi rumah (KIR) atau keluarga yang akan ditempatkan di penempatan baharu Plot B melibatkan kawasan seluas 1,337 ekar.

Manakala Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias melibatkan 93 KIR akan ditempatkan di Plot A seluas 720 ekar. 

Setiap KIR diberikan sebuah rumah tiga bilik dan tapak rumah seluas 0.5 ekar serta tapak dusun juga seluas 0.5 ekar. Mereka turut diberikan ladang getah seluas kira-kira 5.5 ekar yang telahpun mula ditanam.

Kawasan penempatan baharu ini turut dilengkapi kemudahan asas dan fasilisiti awam seperti sekolah rendah, asrama, kuarters guru, dewan serbaguna, balai rawatan, tadika, surau, lot kedai, padang, taman permainan, gelanggang sepak takraw dan pelbagai lagi.

Pengurus Besar TNB Kelantan, Muhamad Azli Ab Rahim turut memaklumkan pihak TNB dalam proses akhir untuk menandatangi perjanjian pakej pampasan dan penempatan semula orang asli. Bayaran pampasan dan saguhati akan dibuat secara berperingkat, sementara logistik untuk proses perpindahan ditanggung oleh TNB sendiri.

Pihak TNB turut menawarkan elaun sara hidup bulanan untuk tempoh 48 bulan kepada setiap KIR orang asli sementara menunggu pokok getah matang.

“Bukan kata kita biarkan mereka (orang asli) tanpa (bantuan) dan selepas ini kita ada satu lagi komponen untuk kita ‘develop’ orang asli melalui perbincangan dengan pihak-pihak tertentu untuk kita bagi kemahiran kepada orang asli supaya kehidupan mereka lebih mampan,” ujar Azli.

Kerja-kerja penyediaan penempatan baharu yang melibatkan dua plot A dan B seluas 2057 ekar telah dilaksanakan oleh kontraktor lantikan TNB, Euro Saga–LLC Infra Consortium sejak Mac 2022 lagi. Setakat April 2024, kemajuan kerja telah mencapai 25 peratus dan dijangka siap pada Mac 2026.



Post a Comment

0 Comments