Ticker

6/recent/ticker-posts

Amarah rakyat isu diesel menjalar ke Nenggiri

GUA MUSANG: Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri merupakan kawasan yang luas bersempadan dengan Dabong, Kuala Balah di jajahan Kuala Krai dan Perak.

Malah banyak kampung di Nenggiri hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda dan bot. Terdapat lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang membabitkan penempatan Orang Asli.

PDM terbabit iaitu Tohoi, Simpor, Jenera, Wias dan Pujian yang hanya boleh dihubungi dengan kenderaa pacuan empat roda.  

Ia memberi kesan berganda kepada mereka ekoran kenaikan harga diesel 10 Jun lepas.

Isu kenaikan harga diesel menjadi antara punca berlaku lonjatan harga barangan keperluan harian.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, sentimen kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga diesel masih berpanjangan sehingga sekarang.


“Apa yang berlaku di Sungai Bakap juga dirasai penduduk di Nenggiri, malah lebih terkesan lagi kerana lokasinya terletak di kawasan pedalaman.

“Peningkatan kos sara menjadi beban yang ditanggung rakyat sekarang. Keluhan mereka dapat dilihat dengan jelas,” katanya di sini.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos ini berikutan kerusi tersebut diisytiharkan kosong berikutan bekas Adun Mohd Azizi Abu Naim didapati melanggar Akta Anti Lompat Parti. 

Dr Wan Nik berkata, isu kenaikan kos sara hidup rakyat bukan perkara kecil, sebaliknya dalam masa yang kerajaan Madani sibuk bercakap mahu menjimatkan wang negara.

Oleh itu beliau yakin isu kenaikan kos sara hidup akan diterjemahkan lebih 20,000 pengundi di Dun Nenggiri pada kertas undi pada 17 Ogos ini.

Post a Comment

0 Comments