Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN NAFI TIADA PAKAIAN PASUKAN BOLA SEPAK PADA SUKMA 2024


Oleh: Saliemin Khesa Ahmad

KOTA DARULNAIM, 21 Ogos - Kerajaan Negeri Kelantan menafikan tiada pakaian yang disediakan khusus kepada pasukan Bola Sepak Kelantan pada Sukan Malaysia XXI Sarawak 2024 (SUKMA 2024) sebagaimana yang tular di media sosial ketika ini.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad berkata, pihaknya sudah berhubung dengan pengurus pasukan itu bagi mendapatkan penjelasan yang sewajarnya.

Katanya, kebajikan para kontinjen Kelantan yang terpilih ke SUKMA 2024 dijaga sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK).

"Kita dah berhubung dengan pengurus pasukan iaitu Dato' Azmi Ariffin berkenaan isu ini.

"Dan isu yang tular ini tidak benar, ia sengaja dibuat untuk menjatuhkan dan memburukkan imej pengurusan SUKMA dan MSNK.

"Sebenarnya pasukan Kelantan ini dah diterbangkan dari Sabah selepas aksi terakhir dengan Sabah FC pada 8 Ogos 2024 lalu dan berehat di Kota Kinabalu, sebelum diterbangkan ke Sibu.

"Pasal baju berwarna-warni masa makan itu adalah kebetulan pakaian-pakaian mereka di hantar ke dobi. Boleh rujuk kepada unit seketariat dewan makan Hotel Kingwood," katanya.

Tambah beliau, sepanjang keberadaan semua pasukan memakai pakaian seragam hanyalah syarat dan arahan daripada pihak pengurusan.

Jelas YB Zamakhshari, perkara tersebut juga berlaku disebabkan beberapa kelewatan peralatan seperti beg daripada pembekal yang menghantar ke pejabat MSNK dan pasukan itu terpaksa bergerak awal ke Sabah untuk menentang Sabah FC dalam Piala Presiden.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesyuarat Kerajaan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan para pemain dan pegawai dibayar elaun setiap kali kemenangan di SUKMA dan mendapat keperluan yang secukupnya sepanjang Piala Presiden berlangsung.

Ujarnya, kerajaan negeri melalui MSNK tidak pernah mengabaikan kebajikan dan keperluan bagi memastikan keselesaan para pemain dan pegawai pada SUKM 2024 yang berlangsung di Sarawak pada tahun ini.

Post a Comment

0 Comments