Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 24 September - Persatuan-persatuan sukan di negeri Kelantan disaran supaya menerapkan kehendak agama kepada atlet khususnya yang beragama Islam.
Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, penerapan kehendak agama kepada atlet akan menonjolkan imej Islam yang sebenar.
"Saya berharap semua persatuan sukan dapat menerapkan kehendak agama kepada atlet khususnya kepada yang beragama Islam. Ini akan mampu menonjolkan keindahan dan imej Islam yang sebenar selari dengan hasrat kerajaan ke arah Penghayatan Membangun Bersama Islam.
"Semua atlet beragama Islam hendaklah sentiasa mematuhi garis panduan syariat Allah dengan menjaga aurat, akhlak dan etika sebagai seorang Muslim agar penat lelah kita bersukan dikira sebagai amal soleh dan akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah."
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Insentif Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 di sebuah hotel di di sini pada Isnin.
Tambah beliau lagi, bidang sukan sekarang ini bukan lagi sekadar untuk mengisi masa lapang dan hobi, bahkan ia boleh dijadikan sebagai satu kerjaya.
"Oleh itu, pihak kerajaan akan berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan kemudahan sukan di negeri ini. Kompleks Sukan Madinah al-Riadhah sedang dibangunkan sebagai persiapan untuk Kelantan menjadi tuan rumah SUKMA 2028. Insya-Allah, saya yakin dengan siapnya kompleks sukan ini akan mampu menaikkan lagi mutu sukan di Kelantan," katanya.
Dalam majlis tersebut, Menteri Besar telah menyampaikan insentif sebanyak RM251,000 kepada atlet-atlet yang telah menyumbang pingat dalam kejohanan SUKMA XXI Sarawak 2024 baru-baru ini.
Untuk rekod, Kontinjen Kelantan telah memenangi 37 pingat keseluruhan dengan tujuh pingat emas, 13 pingat perak dan 17 gangsa.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhammad, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Rohani Ibrahim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Kelantan, Mohd Sabilly Mohd Ramli@ Annuar.
0 Comments