Institusi pendidikan tidak selamat?

KUALA LUMPUR: Kejadian buli sehingga membawa kes kematian dilaporkan berlaku saban waktu di sekolah dan ia semakin meruncing kebelakangan ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, perkembangan yang berlaku itu memberi suatu petanda institusi pendidikan negara berada dalam keadaan tidak selamat.

Oleh itu katanya, Pemuda PAS menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenal pasti permasalahan akar umbi yang berlaku di institusi pendidikan khususnya berkaitan akhlak dan moral murid.

“Apakah sempadan ketegasan para pendidik hari ini menyebabkan anak didik di sekolah semakin hilang pertimbangan mereka,” katanya pada kenyataan hari ini.

Media semalam melaporkan seorang pelajar tingkatan empat ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng Sabtu lepas.

Menurut laporan Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 ditemui sudah tidak bernyawa dalam dewan di sekolah terbabit pada sebelah petang.

Afnan Hamimi turut menggesa siasatan segera dan menyeluruh dilakukan berikutan laporan kes kematian pelajar terbabit.

Menurutnya kejadian tersebut menggemparkan institusi pendidikan negara yang terus menerus dihantui dengan pelbagai tragedi mutakhir ini.

“Perkara utama yang menjadi tanda tanya apakah sekolah masih lagi merupakan kawasan selamat untuk anak-anak didik hadir dan belajar,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.

Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara Dato’ Sri Saifuddin Abdullah mendesak Menteri Pendidikan memberi penerangan di Dewan Rakyat berhubung isu keselamatan murid di sekolah susulan kematian seorang pelajar di Yong Peng.

Katanya beliau amat sedih laporan kematian pelajar berkenaan semalam.

“Saya menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan keluarganya diberi ketabahan,” katanya.

 

Post a Comment

0 Comments