Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 31 Oktober- Seramai 117 orang pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 menerima sumbangan RM500 daripada Kerajaan Negeri Kelantan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, pelajar-pelajar tersebut menerima manfaat sebanyak RM59,500.
"Hari Ini seramai 117 orang pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan STPM 2023 dan dua orang pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang terlewat memohon telah menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri Kelantan berjumlah RM59,500.
"Mengikut data, anugerah insentif kepada pelajar cemerlang dalam SPM, STPM dan STAM daripada Kerajaan Negeri Kelantan untuk tahun ini berjumlah RM543,000 melibatkan 1,205 orang pelajar dan ini paling ramai sejak insentif ini diperkenalkan pada tahun 2006. Dari 2006 hingga 2024 ini sebanyak RM8.25 juta telah disumbangkan kepada 16,507 orang pelajar cemerlang dalam ketiga-tiga peperiksaan tersebut.”
Beliau
berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian
Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan STPM 2023, di Dewan Besar Yayasan Islam
Kelantan (YIK) di Tunjong, Kota Bharu, pada Rabu.
Ditanya mengenai peruntukan untuk pendidikan bagi tahun 2025, YB Dato' Wan Roslan menjelaskan bahawa peruntukan untuk pendidikan sentiasa meningkat setiap tahun.
"Peruntukan untuk pendidikan sentiasa meningkat setiap tahun terutama melibatkan kenaikan gaji. Ini akan dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri Kelantan pada 21 November nanti,” katanya.
Dalam
majlis tersebut juga turut disampaikan sumbangan daripada Kelantan Utilities
Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. (KUMH) dan Indah Water Konsortium (IWK) kepada
100 orang pelajar B40 YIK yang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi
(IPT) yang berjumlah RM200 setiap seorang.
Hadir sama,
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan
Inovasi, YB Kamaruzaman Mohamad, Timbalan Pengarah YIK, Che Kamarudin Kamil,
Pengurus Besar KUMH, Dr. Mohd Rusdi Hassan, Ketua Operasi IWK, Khairul Anuar
Muhamad dan Pengarah Perbandanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
Kelantan, Hamdan Aman Ghazali.
0 Comments