Oleh: Norzana Razaly
Berbekalkan keunikan sejarah dan kepelbagaian budaya, jambatan ikonik seperti Jambatan Guillemard, Tanah Merah Kelantan dan Jambatan Kereta Api Maut Kanchanaburi, Thailand, membuka peluang luar biasa bagi sektor pelancongan rentas sempadan.
Kedua-duanya menjadi lambang penting zaman kolonial yang pernah melakar sejarah Asia Tenggara yang kini berpotensi menjadi daya tarikan yang memperkukuh hubungan pelancongan Kelantan-Thailand.
Menyedari kepentingan jalinan kerjasama situasi menang-menang melalui promosi yang efektif, kedua-dua destinasi itu dapat dijadikan platform untuk menarik pelancong dari serata dunia untuk menelusuri nostalgia sejarah dan mengalami warisan budaya yang masih segar hingga hari ini.
Artikel ini menyingkap potensi besar dua jambatan kereta api ikonik sebagai magnet pelancongan, menghubungkan ekonomi tempatan dan memaparkan kisah warisan yang berterusan di antara dua negara berjiran.
Latar sejarah tersohor
Jambatan Kereta api Maut yang merentasi Sungai Kwai, dibina dari tahun 1942 hingga 1945 ini terkenal kerana sejarah pembinaannya yang melibatkan tahanan perang dan mendapat perhatian global menerusi filem "The Bridge on the River Kwai" yang memenangi tujuh Anugerah Akademi pada tahun 1957.
Jambatan yang dikenali sebagai "Jambatan Kereta api Maut" di atas Sungai Kwai merupakan sebahagian daripada Laluan Kereta api Burma, sepanjang kira-kira 400 kilometer. Walaupun kebanyakan laluan ini sudah terhapus, sebahagian trek yang bermula dari Nam Tok hingga ke Bangkok masih digunakan. Laluan ini pada asalnya dibina oleh buruh paksa Asia dan tahanan perang semasa Perang Dunia Kedua bagi membantu pergerakan bekalan Jepun di Burma.
Ironinya, setelah pembinaannya siap, jurutera British yang dipaksa oleh Jepun membina jambatan itu diarahkan oleh pihak British untuk menghancurkan jambatan tersebut sebagai langkah strategik bagi menyekat kemaraan tentera Jepun yang menuju ke Burma melalui kawasan hutan tropika dan pergunungan, terutama di perbatasan Thailand-Myanmar. Sehingga kini, kesan pembinaannya masih terasa dan sering dikunjungi sebagai tapak sejarah.
Sebagai perbandingan, Kelantan juga memiliki Jambatan Kereta api Guillemard sepanjang 660 meter yang dibina pada tahun 1920 dan siap sepenuhnya pada Julai 1924, lebih awal daripada jambatan di Kanchanaburi.
Ketika pencerobohan Jepun ke Tanah Melayu pada Perang Dunia Kedua, jambatan ini diletupkan oleh pasukan British pada 9 dan 12 Disember 1941. Tindakan tersebut bertujuan untuk memperlahankan kemaraan tentera Jepun yang mara melalui jajahan Kelantan. Pasukan British terpaksa berundur ke Kuala Krai setelah melakukan tindakan sabotaj ini.
Selepas perang tamat, jambatan tersebut dibaik pulih dan kembali berfungsi pada 7 September 1948. Jambatan Guillemard kini hanya digunakan oleh kereta api, dengan laluan kepada kenderaan lain ditutup secara kekal.
Jambatan Guillemard menghubungkan Pekan Kusial di Tanah Merah dan Paloh Rawa di Machang itu memberi peluang unik untuk pelancong yang berminat dalam sejarah dan warisan. Perjalanan landasan kereta api dari Tanah Merah ke Kanchanaburi pula merentasi jarak lebih 900 kilometer.
Langkah susulan
Sebagai langkah susulan, Datuk Kamarudin memaklumkan pihaknya akan mengemukakan surat rasmi berkenaan cadangan kerjasama ini kepada Tourism Thailand.
"Inisiatif ini diharap dapat membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan warisan di Kelantan, di samping memperkukuh hubungan pelancongan di antara Malaysia dan Thailand," ujarnya.
Menurutnya lagi, potensi kerjasama rentas sempadan untuk mempromosikan pelancongan warisan sejarah kini semakin jelas menerusi Lawatan Kerja ke Kanchanaburi dari 29 Oktober hingga 1 November 2024.
Dalam perbincangan bersama Pengarah Pelancongan dan Sukan Kanchanaburi Prasit Pimboon, pada Rabu, empat bidang kerjasama utama yang diharap dapat memacu industri pelancongan warisan antara Kelantan dan Thailand telah dikenal pasti iaitu:
1. Peluang Pembelajaran
Inisiatif pertukaran maklumat dan pengalaman pengurusan pelancongan warisan membuka peluang bagi Kelantan untuk mempelajari kaedah promosi warisan yang berkesan daripada Kanchanaburi. Dengan perkongsian ini, Kelantan dapat meningkatkan pengurusan lokasi bersejarah seperti Jambatan Guillemard, mengambil inspirasi daripada pendekatan Kanchanaburi dalam menonjolkan Jambatan Kereta Api Maut yang telah berjaya menarik pelancong antarabangsa.
2. Kerjasama Pintar
Melalui kerjasama pintar, kedua-dua wilayah boleh mengadakan aktiviti promosi bersama seperti pakej pelancongan rentas sempadan yang menampilkan tarikan utama setiap wilayah. Ini termasuk lawatan khas ke Jambatan Guillemard dan Jambatan Kereta Api Maut yang disokong dengan pengangkutan kereta api, memberi peluang kepada pelancong merasai pengalaman rel sejarah sambil mendalami kisah di sebalik kedua-dua jambatan ikonik ini.
3. Penempatan Papan Informasi di Dua Lokasi
Bagi memperkenalkan tempat bersejarah di Kanchanaburi dan Kelantan kepada pelancong, papan informasi bersama dicadangkan untuk dipasang di kedua-dua lokasi. Langkah ini dapat memberi maklumat penting kepada pelancong antarabangsa mengenai sejarah Jambatan Guillemard dan Jambatan Kereta Api Maut, sekaligus menggalakkan lebih ramai pelawat untuk meneroka kedua-dua destinasi bersejarah ini.
4. Bandar Kembar
Usaha untuk menjadikan Kanchanaburi dan Tanah Merah sebagai bandar kembar diharapkan dapat mempereratkan hubungan persahabatan dan kerjasama dalam pelbagai aspek, termasuk kebudayaan dan ekonomi. Ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi promosi pelancongan, tetapi juga membuka ruang kepada hubungan diplomatik dan pembangunan komuniti yang lebih erat antara kedua-dua wilayah.
Penganjuran Pesta kebudayaan
Daripada lawatan itu juga, delegasi Kelantan didedahkan tentang pengisian Minggu Festival Sungai Kwai di Kanchanaburi yang disambut pada Disember setiap tahun. Manakala di Kelantan, sambutan ulang tahun ke-100 Jambatan Guillemard yang berlangsung pada 19 Julai lepas berkongsi persamaan dalam fokus mereka terhadap warisan sejarah dan potensi pelancongan.
Kedua-dua acara ini menampilkan persembahan kebudayaan sebagai penghargaan terhadap struktur jambatan yang penuh sejarah. Festival Sungai Kwai mengingatkan peristiwa bersejarah pembinaan landasan kereta api maut semasa Perang Dunia Kedua oleh buruh paksa, manakala sambutan Jambatan Guillemard mengenang peranan jambatan itu sebagai laluan kereta api utama di Malaysia yang dibina pada era kolonial British.
Manfaat Kerjasama Silang Portfolio
Dalam lawatan kerja selama empat hari ini juga pelaksanakan silang portfolio memberi manfaat penting bagi memperkukuhkan ekonomi pelancongan serta pembangunan setempat, khasnya penggunaan dana yang lebih efektif dalam pembangunan infrastruktur, promosi, dan pemeliharaan lokasi pelancongan.
Kerjasama ini juga membolehkan penyelarasan dalam pemeliharaan kawasan pelancongan agar tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar. Contohnya, agensi di bawah portfolio exco kerajaan tempatan memainkan peranan dalam menjaga kebersihan, penyelenggaraan dan aspek kelestarian, manakala agensi di bawah tanggung jawab exco pelancongan pula akan memfokus pada agenda promosi dan menarik lebih ramai pengunjung.
Perkara ini membuka peluang untuk menonjolkan tarikan unik seperti jambatan ikonik Guillemard dan kawasan-kawasan warisan sejarah yang lain. Melalui promosi silang portfolio juga pelancong dapat mengetahui lebih lanjut mengenai tapak sejarah yang berkait. Impaknya, lebih ramai pelancong tertarik untuk melawat kawasan tersebut, ekonomi setempat turut berkembang melalui peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penginapan, makanan, kraf tangan, dan aktiviti tempatan. Contohnya, exco pelancongan membantu mempromosikan tarikan ini, manakala exco kerajaan tempatan menyokong dengan infrastruktur yang baik.
Gabungan peranan ini turut berpotensi menjadikan pelancongan sebagai penyumbang ekonomi utama melalui perancangan yang menyeluruh, mesra alam dan melibatkan masyarakat setempat dalam aspek pembangunan pelancongan berdaya tahan dan lestari.
“Kita juga libatkan secara langsung pihak berkepentingan lain termasuklah Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC) yang diwakili Pengarahnya Zaki Ismail dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang diwakili Pengurus Wilayah Timur Basri Abu Bakar, dalam usaha menggalakkan pelancongan rel, dengan memberi tumpuan kepada daya tarikan jambatan kereta api bersejarah di kedua-dua wilayah,” jelas Datuk Kamarudin selepas sesi diskusi dengan pihak Tourism Thailand.
Turut terlibat dalam diskusi dua hala itu ialah Ahli Dewan Negeri Gual Ipoh YB Bahari Mohd Nor, Pengurus Perbadanan Aset Kereta api Wilayah Timur (RAC) Mohd Fakhrulrazi Shamsudin, Setiausaha Majlis Daerah Tanah Merah Tengku Ahmad Zarir Ahmad dan Setiausaha Agung Persatuan Agensi Pelancongan Kelantan (MATTA) Nur Aimi Fadhlina Mohamed Saidi.
Tuntasnya, usahasama pelbagai aspek inilah diyakini berpotensi merancakkan lagi sektor pelancongan warisan melalui kerjasama rentas sempadan Kelantan-Kanchanaburi dan silang portfolio, seterusnya memperkayakan ekonomi tempatan dengan menarik lebih ramai pelancong melalui produk pelancongan unik yang memaparkan sejarah dan warisan serantau.
0 Comments