Ticker

6/recent/ticker-posts

Doktor pakar iringi graduan KIAS terima diploma

 


KOTA BHARU: Seorang doktor pakar mengiringi graduan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Islam Petra (KIAS) Muhammad Arsyad Muhammad Ghazali, 23 menerima diploma pada majlis konvokesyen hari ini.

Beliau naik ke pentas menerima diploma disampaikan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassurudidn Daud pada konvokesyen KIAS kali ke-24.

Pakar Perubatan/Felo Kardiologi, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr Raja Abdul Wafy Raja Muhammad Rooshdi bersama tiga jururawat mengiringi pelajar terbabit.

Turut hadir kedua ibu bapanya, Ghazali Ismail, 67 dan Yuhana Abdul Ghani, 63, untuk meraikan hari bersejarah anak mereka.

Muhammad Arsyad mengalami jangkitan kuman pada jantung dan dimasukkan ke wad sejak tiga minggu lalu.

Beliau antara 245 graduan KIAS menerima diploma pada majlis bersejarah tersebut di Dewan Johor, Nilam Puri.



Beliau baru sahaja selesai menjalani pembedahan di bahagian lulut bagi membuang kuman.

“Beberapa hari sebelum istiadat berkenaan saya kerap bersungut kepada ibu berhubung tarikh konvokesyen yang semakin hampir.

"Ibu saya pula menyebut perkara itu di hadapan ketua jururawat dan beliau memaklumkan kepada doktor.

"Saya tidak sangka pada saat-saat akhir mereka menawarkan diri untuk mengiringi dan membawa saya dengan kenderaan hospital bagi mengambil diploma di konvokesyen,” katanya yang menamat pengajian peringkat diploma jurusan Usuluddin.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu disahkan terkena jangkitan kuman selepas mengalami demam dan sakit-sakit badan.

Sementara itu Dr Raja Abdul Wafy berkata, keadaan Arsyad semakin baik setelah menjalani rawatan tiga minggu lalu.

Menurutnya, beliau perlu menerima rawatan sekurang-kurangnya tiga minggu lagi bagi memastikan kesihatannya kembali pulih.

"Insya Allah Arsyad akan kembali sihat selepas ini, ada potensi untuk sembuh sebagaimana biasa," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments