Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN SIAP SEDIA HADAPI KEMUNGKINAN BANJIR BESAR

 Oleh : Che Maziah Binti Mat

KOTA BHARU, 7 Oktober – Kerajaan Negeri melalui Pengurusan Kebajikan Berkaitan Bencana ketika ini dalam keadaan bersedia menghadapi kemungkinan bencana banjir dan hujan lebat susulan daripada fasa peralihan monson yang sedang bermula dan dijangka berakhir pada awal November ini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Rohani Ibrahim berkata, tiupan angin lemah yang diterima dari pelbagai arah, menggalakkan kejadian ribut petir yang membawa kepada hujan lebat berserta angin kencang pada waktu petang dan malam, berpotensi terjadinya banjir kilat dan pokok tumbang.

Ujarnya, menurut statistik dari MET Malaysia sebanyak 64.21 peratus baki hujan yang  masih belum turun dan dijangka akan mula turun bermula Oktober ini dan akan berakhir pada penghujung Disember. Untuk rekod, sehingga 30 September lalu, purata hujan turun adalah 35.79 peratus sahaja.

“Minggu lepas kita telah adakan satu mesyuarat dan menerima taklimat daripada enam agensi dan jabatan berkaitan untuk melihat keadaan semasa dan kesiapsiagaan pengurusan kebajikan menghadapi Monsun Timur Laut di negeri Kelantan.

"Semua sudah maklum, kita di Kelantan perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan musim tengkujuh yang biasa dihadapi setiap tahun,” katanya pada Majlis Hi Tea Aktivis NGO Kebajikan dan Bencana bertempat di sebuah hotel di sini semalam.

Majlis keraian itu berjaya menghimpunkan hampir 200 wakil pemimpin, agensi dan aktivis serta 34 NGO kebajikan dan pengurusan bencana di seluruh Kelantan.

Sementara itu jelasnya lagi, Kerajaan Negeri Kelantan sangat terbuka dan mengalu-alukan sebarang cadangan, saranan, kerjasama dan perkongsian ilmu untuk memastikan segala pengurusan kebajikan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan semasa.

Majlis turut dihadiri Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Nor Asilah Mohd Zin dan Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga & Kesihatan Kerajaan Negeri Kelantan (UKEKWA), Ilvira Mohd Dasuki.

Kredit foto: Media UKEKWA

Post a Comment

0 Comments