Ticker

6/recent/ticker-posts

KARNIVAL PERPADUAN NASIONAL "KELANTAN MODEL PERPADUAN" DIBANGKIT DI PARLIMEN

Oleh: Asri Hamat 

KUALA LUMPUR, 24 Oktober- Karnival Perpaduan Nasional yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada 19 Oktober lalu, mendapat perhatian Ahli Dewan Rakyat (ADR) apabila ia dibangkitkan oleh Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional kawasan Kapar, YB Dr. Halimah Ali dalam ucapan perbahasanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

YB Dr. Halimah yang juga ketua Potfolio Perpaduan Negara Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang telah berjaya menganjurkan seminar sempena Karnival Perpaduan Nasional tersebut yang bertemakan "Kelantan Model Perpaduan".

"Tahniah saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang telah menganjurkan seminar sempena karnival tersebut. Saya amat teruja dan gembira melihat kejayaan perpaduan kaum yang jelas terserlah di Kelantan.

"Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Pusat Integrasi Antara Kaum Kelantan (PEKA) terbukti telah berjaya memainkan peranan untuk mewujudkan perpaduan nasional di mana rakyat Kelantan yang berbilang kaum hidup dalam keadaan harmoni", katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan di Persidangan Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga 2024 (Belanjawan), sesi pagi pada Rabu.

Menurut YB Dr. Halimah lagi, walaupun Negeri Kelantan mempunyai 95.5 peratus penduduk Melayu yang beragama Islam, namun hakikatnya selama 34 tahun Kelantan ditadbir oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak ada sebarang sekolah venakular dan rumah ibadat yang ditutup dan dirobohkan.

"Saya difahamkan ada 15 buah sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), 2 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), tokong, kuil, gereja dan beratus buah masjid dan surau di Kelantan, semuanya beroperasi dengan baik dan harmoni. Insiden 13 Mei dan ketegangan kaum juga tidak pernah berlaku di Kelantan ", jelasnya. 

Ketika menjawab celahan Ahli Parlimen Pendang, YB Datuk Awang Solahudin Hashim yang bertanya tentang formula yang digunakan oleh Kelantan sehingga orang Cina, India dan lain-lain boleh bercakap dalam dialek Kelantan dengan baik dan saling menghormati, Dr Halimah berkata, masyarakat di Kelantan ada slogan "set kito jange ppecoh".

"Saya difahamkan slogan" set kito jange ppecoh" diguna pakai di Kelantan. Slogan ini bermaksud, walaupun hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum, namun sentiasa bersama-sama dan tidak bermusuhan", ujarnya lagi. 

Dr. Halimah turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perpaduan Masyarakat mengangkat Negeri Kelantan sebagai suatu model perpaduan di Malaysia. Ini kerana walaupun penduduk Negeri Kelantan majoritinya Melayu dan beragama Islam, namun semua bangsa diraikan dan kebebasan beragama, budaya dan sebagainya diamalkan. 

Untuk rekod, YB Dr. Halimah turut menyertai Karnival Perpaduan Nasional yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan apabila hadir di seminar "Kelantan Model Perpaduan" dan Bual Bicara Perpaduan yang diadakan pada 19 Oktober di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim. 

Beliau juga turut hadir di majlis Makan Malam Perpaduan yang diadakan di dewan terbuka Wat Machimaram (The Sitting Budha) Tumpat yang diadakan pada hari yang sama.

Post a Comment

0 Comments