Ticker

6/recent/ticker-posts

Orang Melayu makin terasing di lingkaran kuasa


Oleh ARUS LEBIR 

KEPELIKAN boleh dimaksudkan sebagai keanehan dan keganjilan. Kamus Dewan turut mentafsir sebagai kesukaran dan kesulitan.

Situasi itu berulang semula sekarang. Mengulangi naratif serupa pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 apabila ada individu bukan Melayu menyifatkan anggota tentera makan dan tidur sahaja.

Masihkah kita ingat. Pada 13 Ogos 2019 seorang ahli perniagaan, Koon Yew Yin dilapor menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam.

Pada catatan di blognya dia menulis “anggota tentera, seperti yang kita ketahui, hanya makan dan tidur sahaja. Majoriti mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran. 

“Sepatutnya mereka digunakan untuk ganti pekerja asing yang diupah di ladang FELDA,” kata Yew Yin. Isu tersebut dilapor meluas media. Mengapa keceluparan pelik itu dibiarkan berlaku. 

Sedangkan keganjilan seumpamanya tidak pernah kedengaran sebelum ini. Lebih-lebih lagi merendahkan martabt perwira. Tanpa pengorbanan tentera Yew Yin tidak boleh meraih laba.  

Isu mempersendakan hak orang Melayu, Islam dan Raja Melayu kerap berlaku ketika itu.

Pada November 2018 beberapa menteri dan Ahli Parlimen PH menggesa tindakan disiplin dikenakan terhadap anggota polis Subang Jaya, susulan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 Subang Jaya, 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dilapor berkata polis daerah Subang Jaya mengeluarkan kenyataan salah..

“Kenyataan salah dan tidak bertanggungjawab itu menimbulkan ketegangan masyarakat India kerana kelewatan serta tindakan polis yang tidak berkesan untuk mengawal insiden berkenaan,” katanya. 

Peristiwa tersebut sudah lama berlalu. Ia berlaku di era 1.0 kerajaan PH. Isunya adakah isu serupa tidak berulang hari ini. Sekarang era PH 2.0 Plus Umno.


Anjing liar 


Baru-baru tular di media sosial ada himpunan membantah kes tembak anjing liar di Besut, Terengganu. Kumpulan lelaki dan wanita menjulang plakad gambar anjing supaya diambil tindakan terhadap kakitangan Majlis Daerah Besut (MDB). 

Gabungan Kumpulan Hak Haiwan dilapor mahu anggota terbabit didakwa. Dan mereka dilapor akan memfail saman dengan Mahkamah Tinggi Terengganu.

“Kita mahu semua anggota terbabit didakwa mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015. Kami menuntut polis bertindak terhadap mereka,” kata kumpulan terbabit. 

Malah, tindakan MDB menembak anjing liar turut dibantah Ketua Pemuda Umno Bera, Nashriq Ismail Sabri. Beliau dilapor membantah operasi penangkapan dan pelupusan anjing liar.

Sedangkan pada 13 Oktober lalu, Yang Dipertua MDB Mohd Sukeri Ibrahim menjelaskan tindakan melupus seekor anjing liar mengikut prosedur.

Katanya, tindakan pelupusan anjing liar dilaksana mengikut prosedur Tatacara Operasi Piawai ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Dan selari dengan peruntukan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Operasi penangkapan dan pelupusan anjing liar diadakan di sekitar bandar Jertih pada 6 September 2024 melibatkan 25 pegawai dan kakitangan MDB, Pejabat Veterinar Daerah Besut dan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera.

Operasi itu dijalankan bukan kerana suka-suka. "Ia dilaksanakan susulan aduan orang awam berkenaan sekumpulan anjing liar di sekitar Bank Simpanan Nasional Jertih yang bertindak agresif menyerang dan mengganggu orang awam," kata Mohd Sukeri.

Jelas ada sebab munasabah. Elok sebelum geng Gabungan Kumpulan Hak Haiwan dan Pemuda Umno Bera mahu menjadi juara isu anjing liar, lebih baik kita membelek demografi penduduk di Besut. 



Pada bancian 2020 jumlah penduduk di kawasan pentadbiran MDB seramai 154,168 orang. Jumlah itu mewakili 55 peratus daripada keseluruhan penduduk Daerah Besut.


Najis mughallazah 


Dan daripada jumlah penduduk tersebut 95 peratus kaum Melayu. Dan hanya 4 peratus Cina dan 1 peratus bangsa lain.

Bagi orang Islam anjing mengikut pandangan Mazhab Shafie termasuk  kategori najis mughallazah (najis berat). Kalau terkena air liur dan najisnya, tempat yang bersentuhan perlu disamak dengan air mutlak tujuh kali dan sekali air bercampur tanah.

Ini isunya. Mengapa ada pihak mahu menjadi juara dalam isu najis mughallazah. Ramai bimbang kepelikan itu dibiarkan berlaku sekarang. Adakah kerana geng mereka menjuarai politik Tanah Malaya di saat ini.

Kumpulan yang menentang syarak didapati subur di mana-mana. Pada 20 Jun lepas Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan permohonan semakan kehakiman kes pengendali perjudian di Kedah.

Beberapa kedai judi berjaya dalam tindakan undang-undang untuk mengubah keputusan kerajaan negeri mengharamkan premis judi di Kedah.

Mereka mahu merombak keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah yang tidak meluluskan lesen premis judi. Pengumuman mengenainya dibuat Menteri Besar Sanusi Md Nor pada 14 November 2022.

Persoalannya mengapa ada pihak begitu lantang sekarang. Malah pada 5 Oktober lepas diviral video kumpulan individu berpakaian merah berkelakuan tidak senonoh dan lucah di tempat awam.

Menurut polis foto terbabit dirakam sempena program larian antarabangsa Pan Asia 2024 di beberapa termasuk di Kota Tinggi, Kulai dan Seri Alam.

Sebelum itu pada 10 Mac 2019 penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berarak di ibu negara. Media melaporkan ia disertai Women’s Aid Organization (WAO), Sisters In Islam (SIS) dan aktivis.



Apa yang berlaku itu jelas mencabar Perkara 3(1) perlembagaan yang menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan.

Di mana solusinya. Adakah perlu menunggu tiga tahun lagi menjelang PRU-16. 

Mengulas perkembangan itu bekas editor kanan Yusri Yusof berkata, orang Melayu di negara ini semakin terpinggir dan terasing daripada lingkaran kuasa, setelah hegemoni ekonomi dirampas secara halus dan mudah.

“Hak-hak dan milik Melayu sedang dirombak dan ditanggal secara perlahan-lahan di bumi sendiri,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments