Ticker

6/recent/ticker-posts

KIAS-KUM JALIN KERJASAMA PERKUKUH TEKNOLOGI HIJAU

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 14 Oktober – Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. (KUM) bersepakat meneroka lebih banyak peluang jalinan kerjasama dalam sektor teknologi hijau, yang bakal memberi manfaat kepada pelajar, tenaga pengajar dan masyarakat setempat.

Satu majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara KUM dan KIAS telah diadakan sempena International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis lepas.

MoU tersebut ditandatangani oleh Rektor,  Prof. Dr. Mazlan Ibrahim mewakili KIAS bersama Pengurus Besar KUM, Dr. Roshdi Hassan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, YB Dato' Haji Wan Roslan Wan Hamat hadir menyaksikannya berkata persefahaman rasmi itu bertujuan untuk melaksanakan projek pemasangan sistem tenaga solar di kampus KIAS. 

Dato' Wan Roslan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KIAS Darulnaim Sdn. Bhd. turut berharap ia menjadi langkah awal dalam menjadikan KIAS sebagai model institusi pendidikan yang menggunakan sumber tenaga hijau dan mampan.

“KIAS akan memulakan inisiatif ini untuk mengurangkan kos penggunaan tenaga elektrik dengan memanfaatkan tenaga solar yang boleh diperbaharui.

"Dalam jangka masa panjang, usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada KIAS, malah kepada masyarakat setempat dan sektor pendidikan, dalam meningkatkan pemahaman mengenai teknologi hijau,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Beliau juga memaklumkan projek tersebut dijangka bermula dalam tempoh dua bulan selepas majlis pertukaran MoU.

"Fasa pertama melibatkan pemasangan panel solar di Dewan Iraq dan Asrama Khadijah. Keseluruhan projek ini dijangka siap dalam tempoh 12 bulan. 

"Selain itu, KIAS dan KUM turut melihat peluang kerjasama jangka panjang dalam beberapa bidang lain, termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama dalam sektor tenaga hijau, serta program latihan dan kemahiran yang memberi tumpuan kepada teknologi tenaga boleh diperbaharui," jelasnya. 

Beliau optimis kerjasama itu membawa impak positif kepada promosi kelestarian alam sekitar serta pembangunan teknologi hijau di Malaysia. 

Turut hadir menyaksikan majlis MoU itu ialah Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Wan Illy Liana Wan Mat dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Wan Mohd Husni Wan Osman.

Post a Comment

0 Comments