Ticker

6/recent/ticker-posts

LAGI TAPAK WAT SIAM DIWARTAKAN KERAJAAN KELANTAN

Oleh: Saliemin Khesa Ahmad

BACHOK, 13 Oktober - Wat Pathumviharn di Kampung Balai, Bachok telah diwartakan sebagai tapak untuk kegiatan kebudayaan dan kemasyarakatan komuniti Siam di negeri ini.

Dengan pewartaan ini menjadikan jumlah keseluruhan 16 tapak wat Siam di seluruh Kelantan telah diwartakan di bawah tanggungjawab Majlis Sangha Negeri Kelantan sejak mula diperkenalkan pada tahun 2017.

Lim Guan Seng berdiri paling kiri

Menurut Pengerusi Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA), Lim Guan Seng, pewartaan wat di Kelantan akan memudahkan pengurusan bagi sebarang aktiviti kebudayaan serta urusan ibadat di kawasan berkenaan.

Katanya, pelaksanaan mewartakan 16 wat di Kelantan membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak pernah menyisihkan mana-mana kaum di negeri Serambi Mekah ini.

"Ia adalah bukti jelas komitmen kerajaan negeri dalam memastikan hak semua masyarakat, termasuk komuniti Siam terus terpelihara.

"Kita berharap dengan pewartaan ini, segala urusan yang berkaitan agama Buddha di wat dapat dijalankan dengan lebih lancar dan teratur," katanya ketika ditemui selepas Majlis Jalinan Mesra Antara Kaum Bersama Masyarakat Siam Negeri Kelantan di Wat Pathumviharn, Kampung Balai, di sini hari ini.


 Beliau juga berkata, usaha tersebut adalah selaras dengan prinsip kebebasan beragama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping mengukuhkan hubungan antara pelbagai kaum di Kelantan.

Sementara itu, Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), Razuan Awang Hamad berkata, pewartaan wat Siam itu adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan masyarakat Siam di Kelantan. 

Tambahnya, langkah tersebut bukan sahaja memudahkan urusan keagamaan, tetapi juga berperanan sebagai simbol perpaduan antara kaum di negeri ini.

"Pewartaan ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan kebudayaan dan warisan komuniti Siam terus terpelihara. 

"Di samping itu, ia turut membuka peluang kepada masyarakat lain untuk lebih memahami dan menghargai kepelbagaian budaya di Kelantan," katanya.

Jelas beliau, kerajaan negeri komited dalam melaksanakan dasar-dasar yang adil serta tidak meminggirkan mana-mana golongan, tanpa mengira latar belakang agama atau etnik.

Turut hadir, Timbalan Ketua Jajahan Bachok, Nik Ahmad Syazwan Nik Muhammad, Pegawai Khas Antara Kaum Pejabat Menteri Besar Kelantan, Lau Chin Chua, Ketua Sami Kelantan, Than Chao Kun Prak Pitsan Sammanak Kit, Ketua Sami Wat Pikhuntong, Phrak Khru Suwanvaranukkul mewakili Majlis Sangkha Negeri Kelantan serta Ketua Sami Wat Pahthumviharn, Than Plen.

Post a Comment

0 Comments