Ticker

6/recent/ticker-posts

PROGRAM PENGAJIAN DI KIAS DIIKTIRAF MQA

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 8 Oktober- Semua program pengajian yang ditawarkan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Qualification Agency (MQA) atau Agensi Kelayakan Malaysia.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, pengiktirafan ini membuktikan kredibiliti sistem pengajian di KIAS mencapai tahap yang tinggi serta mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Malaysia dan antarabangsa.

"Lulusan Diploma daripada KIAS adalah diiktiraf setaraf dengan lulusan Diploma dari institut pengajian tinggi tempatan yang lain. Tahap prestasi akademik di KIAS juga dinilai oleh pihak MQA. Dengan ini lepasan KIAS juga berpeluang untuk berkhidmat dalam industri termasuk di sektor perkhidmatan awam.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Istiadat Konvokesyen KIAS Ke- 24, di Dewan Johor KIAS, pada Isnin. 

YB Wan Roslan turut memaklumkan bahawa aspek pengurusan dan dokumentasi KIAS sentiasa dipantau oleh Jabatan Pengajian Tinggi melalui sesi lawatan penilaian yang dilakukan secara berkala. Manakala pengurusan KIAS turut diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

"Saya percaya dengan kualiti kurikulum dan pendidikan yang ditawarkan ditambah dengan kualiti pengurusan baik, KIAS akan menjadi tarikan kepada pelajar daripada rantau Asia untuk melanjutkan pelajaran mereka sedikit masa lagi,” ujarnya.

 
Sementara itu, Rektor KIAS, Prof. Dr. Mazlan Ibrahim pula menjelaskan bahawa 27 program pengajian yang ditawarkan oleh KIAS bersesuaian dengan keperluan masa kini dan kebolehan pasaran graduan.

"Sistem pengajian di KIAS mampu melahirkan modal insan yang berkualiti, berdaya saing serta memenuhi keperluan negara. KIAS juga memberi perhatian kepada peluang kerjaya bagi mengelakkan pengangguran dalam kalangan graduan dengan memastikan kurikulum yang ditawarkan sentiasa selari dengan perkembangan dan keperluan pelbagai pihak termasuk industri.

"Melalui sistem pengesanan graduan pada tahun 2023, statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi telah merekodkan kadar kebolehan pasaran graduan KIAS mencapai 87.4 peratus. Ini satu pencapaian yang memberangsangkan,” jelasnya.

Seramai 245 graduan lepasan Diploma dalam pelbagai bidang telah menerima skrol daripada Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud termasuk dua graduan yang terpaksa diiringi oleh pengiring akibat keuzuran.

Muhammad Arsyad Muhammad Ghazali yang sudah tiga minggu dimasukkan ke wad Rehabilitasi Jantung, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) disebabkan jangkitan kuman di jantung diiringi oleh doktor pakar Dr. Raja Abdul Wafy Raja Muhammad Rooshdi untuk menerima skrol daripada Menteri Besar.

Manakala Nurul Izzah Fauzi yang menghidap Sistem lupus Erimatosus (SLE) sejak empat tahun lalu dipimpin oleh petugas Istiadat Konvokesyen untuk menerima skrol.

Post a Comment

0 Comments