Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN PILIHAN PENGGAMBARAN DOKUMENTARI JOSEPH ROSENDO’S STEPPIN’ OUT


 Oleh: Zaki Mustafa

KOTA BHARU, 8 Oktober - Joseph Rosendo’s Steppin’ Out sebuah rancangan televisyen popular di Amerika Syarikat memilih Kelantan sebagai salah satu destinasi penggambaran pengembaraan beliau ke beberapa buah negara. 

Joseph dan produksinya meluangkan masa selama tiga hari bermula semalam, membuat penggambaran dokumentari di sekitar Kota Bharu berkaitan kesenian dan kebudayaan Kelantan seperti permainan gasing uri, pembuatan wau sobek, wayang kulit, silat dan pembuatan batik.

Beliau yang pertama kali menjejakkan kaki ke Kelantan, menyifatkan Kelantan umpama pesta makanan yang menawarkan beraneka makanan yang unik dan menyelerakan.

Menikmati rasa yang disifatkannya sebagai ‘a magical’ apabila mencuba makan budu dengan ulam. Dua kelainan rasa apabila memakan ulam dengan budu sahaja dan memakan ulam dengan budu berserta nasi.

Joseph Rosendo, 78 merupakan selebriti tv di Amerika Syarikat yang terkenal sebagai jurnalis, pengacara, penulis skrip, pengarah dan penerbit melalui siri pengembaraan Joseph Rosendo’s Travelscope yang disiarkan di Amerika Syarikat dan Kanada sejak tahun 2007 lagi.

Beliau yang pernah menggondol 13 anugerah televisyen tempatan dan 6 Emmy Awards kembali ke Malaysia buat kali kedua setelah 20 tahun bagi memulakan penggambaran untuk musim kedua rancangan Joseph Rosendo’s Steppin’ Out yang dijadual bersiaran pada April 2025.

Sebelum ke Kelantan, beliau dan produksi telah selesai penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Perak dan destinasi terakhir di Terengganu. 

Usaha mempromosi khazanah budaya dan kesenian Kelantan ini turut dijayakan Tourism Malaysia dan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan.  




Post a Comment

0 Comments