Oleh: Asri Hamat
MACHANG, 11 November- Walaupun sering ditohmah sebagai sebuah negeri yang miskin dan pentadbiran yang tidak cekap oleh sesetengah pihak, Kerajaan Negeri Kelantan dengan kemampuan yang ada terus cakna terhadap kebajikan rakyat.
Terbaharu, majlis penyerahan Skim Halimatul Saadiah yang diadakan pada tahun ini membabitkan 51 pengasuh dari seluruh Negeri Kelantan.
Pengasuh yang mencapai tahap sangat cemerlang menerima RM1000 manakala cemerlang mendapat RM700.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Rohani Ibrahim berkata, penyampaian Skim Halimatul Saadiah kepada pengasuh kanak-kanak menunjukkan kecaknaan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap rakyat.
"Dalam keadaan Kerajaan Kelantan sering ditohmah sebagai negeri miskin dan tidak pandai memerintah, kita boleh buat pelbagai program untuk kebajikan rakyat mengikut kemampuan kita. Kalau kita ada duit 50 sen kita buat cara 50 sen, kalau kita ada seribu, kita buat cara seribu.
"Contohnya program penyerahan Skim Halimatul Saadiah hari ini, seramai 51 orang pengasuh menerima antara RM700 hingga RM1000 setiap seorang membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan cukup menjaga dan cakna kepada rakyat khususnya kepada wanita dan keluarga sehingga sampai tahap pengasuh pun diambil perhatian."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penyerahan Skim Halimatul Saadiah 2024, di Dewan Chengkih Emas pada Jumaat.
YB Rohani juga berpesan kepada para pengasuh supaya mendidik anak-anak asuhan dengan ilmu agama, adab dan akhlak yang mulia serta dengan tutur kata yang santun, agar anak-anak asuhan membesar dengan baik dan menjadi pemimpin yang berilmu, beradab, berakhlak dan berkredibiliti pada masa hadapan.
Untuk rekod, program Skim Halimatul Saadiah bermula sejak tahun 2015. Proses pemilihan penerima skim melalui empat tapisan diawali dengan penerimaan borang permohonan, kehadiran kursus siri satu dan dua, lawatan panel penilai yang terdiri daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Jajahan dan lawatan panel modul Skim Halimatul Saadiah dan pihak Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) ke pusat asuhan kanak-kanak para pengasuh yang memohon.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Pengarah U-KEKWA, Ilvira Mohd Dasuki, Penyelaras Taska Negeri Kelantan, Wan Rusnah Wan Othman dan Pegawai Dakwah dan Sahsiah (Hal Ehwal Murid) Yayasan Islam Kelantan (YIK) Ustazah Sakinah Mohd Amin.
0 Comments