KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dianggap bersikap dua wajah apabila dilihat mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Sedangkan sebelum ini PH menyokong pengampunan yang diterima Dato’ Seri Anwar Ibrahim walaupun belum selesai menjalani hukuman penuh ketika itu.
“Kenapa pula piawaian yang berbeza perlu dikenakan kepada pihak lain,” tanya Setiausaha Agung Umno, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Pada kenyataan malam tadi PH menegaskan pendirian untuk terus mempertahankan agenda reformasi termasuk memastikan individu yang disabitkan kesalahan menjalani sepenuhnya hukuman ditetapkan mahkamah.
Dr Asyraf berkata, kuasa pengampunan adalah hak prerogatif baginda yang termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya peruntukan tersebut tidak sewajarnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Kata beliau berbeza dengan PH, Umno tidak berhasrat mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau menuntut apa-apa keputusan tertentu.
“Apa jua keputusan yang dibuat melalui proses yang sah hendaklah dihormati semua pihak. Umno kesal terhadap kenyataan Majlis Setiausaha PH.
“Tindakan itu secara tidak langsung menyerlahkan ‘warna sebenar’ PH yang sudah beberapa kali meremeh dan mempertikai Institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik mereka,” katanya pada kenyataan hari ini.
Pada 16 Mei 2018 Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan pengampunan penuh tanpa syarat kepada Anwar.
Berikutan itu PH menyokong keputusan memberi pengampunan diraja penuh kepada Anwar selepas PH menguasai kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Ini jelas bertentangan dengan prinsip dan syarat yang telah disepakati bersama dalam perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia,” kata Dr Asyraf.
Beliau juga berkata, Umno kekal teguh mendukung institusi Yang di-Pertuan Agong serta kuasa-kuasa baginda.
Kata beliau sebarang usaha bagi menekan atau menanam prasangka buruk secara langsung atau tidak langsung terhadap institusi tersebut dianggap sebagai pengkhianatan kepada perlembagaan dan negara.




0 Comments