Ticker

6/recent/ticker-posts

JUADAH BERASASKAN UBI KAYU LARIS MUSIM BAH


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 20 November - Musim bah sinonim dengan makanan berasaskan ubi kayu.

Permintaan mendadak terhadap kuih berasaskan makanan pilihan zaman perang dunia kedua itu sangat tinggi pada musim hujan kini, memerlukan usahawan makanan memproses sehingga 300 kilogram ubi kayu sehari untuk dibuat kuih-muih seperti putu halba, tepung boko, tonyoh, pengat, sira, bubur, poli dan kato dan tepung manis serta pindang tapai.

Media tempatan melaporkan, peningkatan permintaan terhadap jualan itu membolehkan usahawan makanan berasaskan ubi kayu meraih pendapatan sehingga RM700 sehari.

Exco Pelancongan, Kebudayan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata makanan yang diperbuatkan daripada ubi kayu menjadi fenomena luar biasa apabila muncul gerai-gerai kuih-muih putu halba berceretet di tepi-tepi jalan sempena musim tengkujuh.

“Gerai-gerai kuih-muih berasaskan ubi kayu ini semakin mendapat perhatian dan tarikan pelancongan yang boleh memeriahkan suasana. Pesta makanan ini menyajikan pelbagai hidangan tradisional ubi kayu, yang menjadi santapan masyarakat setempat dan turut menarik minat pengunjung luar.

Pesta seperti ini dapat memperkenalkan lebih ramai pengunjung ke Kelantan kepada keunikan budaya makanan Kelantan, sekali gus menjadi peluang ekonomi kepada penduduk setempat yang mengambil bahagian dalam pembuatan dan penjualan kuih-kuih tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya lagi, sebagai galakan pelancongan dan menyokong usahawan makanan tempatan, pihaknya memproduksi sebuah dokudrama khas yang menyingkap ilmu gastronomi di sebalik juadah langka Pindang Tapai.

“Penerbitan dokudrama ini dihasilkan dengan kerjasama badan bukan kerajaan sebagai usaha kerajaan negeri memperanankan NGO sebagai salah satu daripada 19 Penggerak Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI). Manakala Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) pula bertindak sebagai penyiar utama dengan kerjasama Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC).

“Tenaga produksi termasuk para pelakon terdiri daripada bakat-bakat tempatan yang belia dan veteran. Kita gabungkan kepakaran masing-masing untuk hasilkan sebuah persembahan seni yang menarik tontonan awam untuk menghargai warisan Kelantan melalui pelancongan makanan (food tourism) sempena tema Food, Family, Festival bagi Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024 yang masih diraikan,” jelasnya.

Mewakili Kerajaan Negeri Kelantan dan seluruh kru produksi, Datuk Kamarudin mempersila semua peminat makanan warisan Kelantan menonton dokudrama Pindang Tapai: Kebenaran Dirungkai Selendang Cindai.

Post a Comment

0 Comments