KOTA BHARU: Sejak awal pemerintahan PAS di Kelantan pelbagai usaha dibuat bagi membentuk masyarakat mengikut acuan agama termasuk menggubal perundangan syariah.
"Agama menyuruh berbuat perkara makruf dan melarang perkara mungkar, jadi kerajaan perlu menggalas amanah yang besar bagi membentuk rakyat mengikut sistem perundangan Islam.
"Di samping itu kita laksana program-program berbentuk pendidikan, pencegahan dan pemulihan dalam masyarakat yang dijalankan secara berterusan," kata Menteri Besar.
Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Hududullah peringkat Kelantan di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak di Panji di sini hari ini.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Mohd Amar Abdullah; anggota Exco Mohd Asri Mat Daud dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelanan (JAHEIK) Dr Hasnan Ramli.
Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri menggunakan teknologi maklumat bagi menyebarkan kebaikan dan keadilan perundangan Islam.
Bagaimanapun katanya, masih ramai lagi belia yang tidak memahami dan menghayati aspek tersebut sehingga ada individu yang terlibat dengan gejala sosial.
Kata beliau mereka membesar dengan kecenderungan teknologi yang berada di tangan masing-masing.
“Kita perlu mengambil berat dengan memperbanyakkan info mesra kepada mereka. Tanggungjawab mesti dimainkan kita semua untuk terus menyebarkan kebaikan dan keadilan undang-undang Islam.
“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri menggalakkan rakyat melakukan perkara makruf dan mencegah perbuatan mungkar dalam masyarakat," katanya.
0 Comments