Ticker

6/recent/ticker-posts

BANJIR DI KELANTAN CATAT NILAI KERUGIAN RM300 JUTA

oleh: Saliemin Khesa

KOTA BHARU, 18 Disember - Bencana banjir yang melanda negeri Kelantan bermula 28 November lepas mencatat nilai kerugian melebihi RM300 juta, setakat ini.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Dato' Hassan, nilai kerugian itu dikira berdasarkan kemusnahan infrastruktur, pertanian dan rumah yang musnah akibat bencana banjir.

Katanya, kerajaan negeri akan membuat penilaian kepada semua mangsa banjir bagi membolehkan bantuan diagihkan mengikut kelayakan dan jumlah yang ditanggung mereka.

"Anggaran kasar kerajaan negeri setakat ini sahaja sudah melebihi RM300 juta.

"Bagi urusan membaik pulih, kerajaan negeri membantu sahaja Kerajaan Persekutuan sebab jumlahnya (nilai kerugian) begitu besar.

"Jadi kita ambil pengalaman daripada kejadian bencana pada tahun 2014, kita akan lihat siapa yang layak dan setakat mana kelayakannya," katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Rabu.

Tambah beliau, pihaknya telah memperuntukkan setengah daripada bantuan tersebut kepada wakil rakyat untuk diagihkan kepada mangsa banjir bagi setiap kawasan yang terjejas sebagai permulaan.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pihaknya telah mendapatkan laporan awal daripada Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Negeri Kelantan berkaitan kejadian tebing runtuh di Sungai Kelantan berhampiran bangunan kondominium di Kota Bharu.

"Berdasarkan laporan yang kita terima, kerajaan negeri telah memutuskan bahawa kejadian ini adalah sebagai satu bencana atau diistilahkan sebagai darurat.

"Apabila kita istiharkan bencana, maka kita kena segera perbaiki.

"Sekiranya kita tiada peruntukkan, kita kena adakan dan ia akan melibatkan kerjasama bersama Menteri Ekonomi," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan satu kejadian tanah runtuh telah berlaku di satu kawasan di tebing Sungai Kelantan menyebabkan runtuhan sepanjang lebih 50 meter dikesan sekali gus mengakibatkan laluan pejalan kaki di lokasi itu terhumban ke bawah.

Post a Comment

0 Comments