Kredit foto: FB YB Mejar Dato' Md Anizam Ab Rahman |
Oleh: Norzana Razaly
TANAH MERAH, 7 Januari – Jualan barang runcit dan keperluan asas di Pasar Rakyat Kelantan Agro (KELAGRO) DUN Kemahang laris dalam masa kurang 3 jam atas sambutan hangat daripada masyarakat tempatan.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Abdul Rahman berkata ramai yang mendapat manfaat daripada program tersebut di perkarangan Masjid Al-Mustaqim, Alor Pasir pada Sabtu.
Katanya, sambutan luar jangka itu membuatkan urus setia program terkejut dengan sambutan orang ramai yang datang ke program itu.
“Kebiasaan barang yang mereka bawa mencukupi sampai ke tengah hari, namun kali ini tidak sampai 3 jam semua barang sudah kehabisan dan mereka sangat terkejut dengan sambutan masyarakat di sini yang sudah beratur panjang seawal pukul 7.00 pagi lagi,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, pihak urus setia telah menghadkan kuantiti untuk seseorang membeli agar barangan yang ditawarkan dengan harga patut itu dapat dinikmati oleh semua pengunjung.
“Kita percaya masih ramai di luar sana ingin berbelanja di program Pasar Rakyat namun tidak kesampaian. Insya Allah kita cuba yang terbaik dan perbaiki lagi pada masa akan datang. Kita juga ingin memohon maaf atas kekurangan yang timbul semasa program ini berlangsung,” katanya.
@pusatkhidmatdunkemahang Jualan Pasar Rakyat Kelantan Agro di Masjid Alor Pasir.
♬ Rezeki di Tangan Allah - Memutiara
0 Comments