Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 19 Disember – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited memastikan kemajuan ekonomi negeri dicapai secara inklusif dengan kesejahteraan rakyat sebagai teras utama pembangunan.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menegaskan perkara itu selepas mempengerusikan Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan kali ke-26 yang berlangsung di Kompleks Kota Darulnaim, pada Rabu.
Menurutnya, muzakarah tersebut berfungsi sebagai platform penting untuk merangka dasar baharu dan strategi berimpak tinggi bagi memastikan pembangunan Kelantan terus berkembang secara lestari dan berdaya tahan.
“Antara fokus utama kali ini adalah memperkukuh sektor ekonomi melalui inisiatif yang lebih kompetitif, menarik pelaburan strategik, serta menyediakan peluang pekerjaan yang lebih meluas kepada rakyat Kelantan,” katanya dalam catatan di media sosial semalam.
Dalam mesyuarat tersebut, pelbagai aspek pembangunan negeri turut dibincangkan, termasuk memacu sektor pelancongan, pertanian moden, dan pembangunan infrastruktur mampan.
Tambahnya, kerajaan negeri juga menitik berat agenda kemakmuran rakyat dengan menambah baik kualiti kehidupan melalui penyediaan perkhidmatan asas yang efisien, pendidikan yang inklusif dan inisiatif kebajikan yang komprehensif.
“Kelantan sedang bergerak ke arah negeri yang lebih maju, namun prinsip keseimbangan dunia dan akhirat tetap menjadi tunjang dalam setiap perancangan yang dilaksanakan,” ujarnya.
0 Comments