Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor |
Oleh: Saliemin Khesa
KOTA BHARU, 26 Disember - Acara 'Midnight Sales' (Jualan Tengah Malam) bersempena kempen Malaysia Year End Sale (MYES) 2024 akan diperluaskan di Kelantan bagi menggalakkan pelancong antarabangsa, terutama dari negara sempadan untuk berbelanja dan bermalam di Kelantan.
Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor, inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama Tourism Malaysia itu memfokuskan kepada pelancong dari Singapura dan Thailand untuk berkunjung ke negara Malaysia terutamanya di Pantai Timur.
"Saya difahamkan seramai 100 pelancong dari Selatan Thailand mengunjungi 'Midnight Sales' di Kelantan, pada hari ini (Selasa).
"Kedatangan mereka selama dua hari satu malam adalah melalui jualan pakej yang dibangunkan oleh Matta Kelantan Chapter sempena kempen ini.
"Inisiatif ini memfokus kepada pelancong di sempadan negara yang diharap memanjangkan tempoh keberadaan mereka di negara ini, termasuk bermalam di hotel," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran 'Midnght Sales' bersempena kempen MYES di sebuah pasar raya, di sini, pada Selasa.
Turut hadir, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud serta Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Mohd Azizul Arif Yahya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, kerajaan negeri juga tidak melepaskan peluang dalam mempromosikan dan melancarkan Pesta Makanan Musim Tengkujuh pada Januari 2025.
Katanya, ia sebagai satu tarikan pelancongan terutamanya dari segi tawaran menu makanan yang hanya muncul pada ketika itu.
"Hujan tetap hujan.. kita perlu berfikir di luar kotak bagaimana mahu menghidupkan kegiatan pelancongan meskipun dalam musim tengkujuh.
"Insya Allah, pada 10 Januari ini, Pesta Makanan Musim Tengkujuh akan dilancarkan di Pasir Mas kerana kita sedia maklum, ada beberapa menu yang hanya ada ketika musim tengkujuh.
"Contohnya, putu halba, ubi tonyoh dan ikan budu," katanya.
0 Comments