Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 11 Disember- Kerajaan Negeri Kelantan menggesa pihak yang terbabit dengan pembinaan Projek Pembinaan Lembaga Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok supaya mengkaji semula perancangan projek tersebut agar dibuat secara teratur dan strategik bagi mengelakkan banjir besar terus berlaku.
Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, langkah tersebut penting bagi mengelakkan kesan buruk kepada rakyat di kawasan projek tersebut sepanjang tempoh pembinaan.
"Kita cadangkan agar pembinaan" bypass" yang berfungsi untuk menyalurkan ke Sungai Mengkuang dan Pengkalan Nangka bagi mengelakkan risiko banjir yang lebih teruk di Meranti dan Lancang serta kawasan sekitarnya.
“Cadangan ini perlu diteliti oleh pihak yang terbabit dengan projek pembinaan PLSB sebagai langkah penyelesaian yang signifikan," katanya menerusi kenyataan rasmi kepada media selepas mesyuarat exco di Mabna, hari ini.
Dato’ Mohd Nassuruddin juga menyeru agar pihak terbabit dengan projek PLSB mengambil kira pandangan dan idea daripada penduduk tempatan di kampung-kampung di sekitar sungai Golok dalam membuat setiap perancangan.
"Penduduk asal ini lebih arif dan memahami keperluan dan cabaran setempat yang perlu diberi perhatian yang serius," jelasnya.
Beliau sangat berharap projek tebatan banjir itu dapat dilaksanakan segera bagi mengelakkan kerugian yang besar oleh penduduk terbabit pada masa hadapan.
0 Comments