Kredit foto dan video FB Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 12 Disember- "Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada mangsa banjir yang telah melanda beberapa jajahan di negeri Kelantan baru-baru ini," kata Timbalan Yang Dipertuanya Dato' Mohd Anis Hussein.
Menurut beliau, MAIK telah membelanjakan sebanyak RM600 ribu untuk tujuan tersebut.
"Setakat ini MAIK telah membelanjakan sebanyak RM600 ribu untuk membeli barang-barang keperluan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir.
"Barang-barang tersebut berupa keperluan asas seperti makanan, barang-barang untuk kesihatan dan kebersihan diri.
"MAIK selaku jabatan yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan rakyat telah mengambil tindakan segera dengan turun padang untuk memberi sumbangan kepada mangsa banjir melalui ketua jajahan yang terlibat dengan banjir seperti Jajahan Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah dan Pasir Puteh.
"Kita berharap dengan sumbangan ini akan dapat membsntu meringankan beban yang ditanggung mangsa yang terlibat at dengan banjir".
Beliau berkata demikian dalam program "30 Minit MAIK Bersama Anda" bertajuk "Kami Cakna" yang disiarkan secara langsung di Facebook MAIK, pada Selasa.
Menurutnya lagi, sumber kewangan untuk misi bantuan tersebut datangnya daripada kumpulan wang baitulmal iaitu dana awam baitulmal MAIK, Majlis Agama Islam negeri-negeri selain Kelantan, jabatan dan agensi kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Selain menyalurkan sumbangan melalui ketua jajahan, Dato' Mohd Anis yang baharu sahaja memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua MAIK, bersama setiausaha MAIK Muhamad Rasani Ramli turun sendiri menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir.
0 Comments