Oleh: Norzana Razaly
RANTAU PANJANG, 5 Disember – Prihatin terhadap musibah yang melanda rakan sekerja, seramai 25 kakitangan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) bergotong-royong membersihkan rumah sahabat yang teruk terjejas banjir di Taman Prima, di sini, hari ini.
Kediaman yang menjadi tumpuan ialah milik Penolong Pengarah Penerangan Zon, Syed Md Riduan Syed Mohd Kamarudin dan kakitangan pentadbiran Mohd Hafiz Mohamad Jalailudin, yang terletak di lokasi sama.
Rumah teres dua tingkat mereka dilanda banjir pada 27 November lalu sehingga menyebabkan lumpur menebal di lantai, menjadi tumpuan utama usaha pembersihan yang dijalankan dengan penuh semangat kerjasama.
Bermula pukul 10 pagi sehingga menjelang petang, warga UPKN gigih mengemas kawasan rumah menggunakan peralatan pembersihan termasuk pam air, penyodok, dan penyapu.
Sehubungan itu, Ketua Pasukan Sukarelawan yang juga Pengarah UPKN Razuan Awang Hamad memaklumkan, tindakan tersebut diambil atas semangat kekeluargaan dalam organisasi selain menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa banjir yang memerlukan sokongan fizikal dan moral.
“Kita harap usaha ini mampu meringankan beban Syed Md Riduan dan Hafiz sekeluarga yang terpaksa menghadapi situasi sukar akibat bencana banjir ini,” katanya.
Terharu atas bantuan yang diterima, Syed Md Riduan dan Hafiz melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas khidmat bakti rakan UPKN yang diterima.
“Perbuatan (menolong manusia untuk menunaikan keperluan mereka) lebih disukai oleh Nabi saw daripada beriktikaf di masjid Nabawi selama sebulan,” kata Syed Md Riduan memetik hadith riwayat al-Tabarani: Mu'jam al-Kabir sebagai luahan penghargaan.
Hafiz turut menzahirkan perasaan yang sama dan menghargai pertolongan rakan sepejabat.
“Saya sangat terharu melihat rakan-rakan UPKN datang membantu. Kehadiran mereka amat meringankan beban kerja keluarga kami dan menyuntik semangat untuk kami bangkit semula selepas banjir ini,” ujarnya.
0 Comments