KOTA BHARU: Pemansuhan peperiksaan berpusat dianggap akan memberi kesan jangka panjang kepada kesediaan pelajar memasuki pendidikan tinggi dan pasaran kerja.
Pakar bidang pendidikan Dr Zulkeflee Yaacob berkata, pentaksiran bilik darjah tidak mencerminkan pencapaian pelajar sebenar kerana indikator akademik atas operasi minda intelektual mesti melalui minda abstrak dan konkrit.
Kata beliau konsep pentaksiran dan makanisme penilaian alternatif dicadang jauh daripada parameter standard dalam pelaksanaan antara sekolah-sekolah khususnya di antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan peperiksaan terhadap murid sekolah untuk mengurangkan tekanan pelajar agar fokus pembelajaran di sekolah berasaskan pertanyaan, eksplorasi, pengalaman, kontekstual serta pentaksiran terhadap pembangunan holistik murid.
“Pemansuhannya tidak menyelesaikan isu, jauh sekali meningkatkan penguasaan asas pelajar, malah mengaburkan masalah yang mendasari dalam sistem pendidikan khususnya berkaitan penguasaan asas 3M,” katanya di sini.
Baru-baru ini Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilapor berkata, ketetapan Kementerian Pendidikan mengekalkan pemansuhan pembelajaran berorientasikan peperiksaan terhadap murid sekolah demi mengukuhkan sistem pendidikan sedia ada.
Dr Zulkeflee berkata, peperiksaan UPSR dan PT3 berperanan sebagai mekanisme berkesan untuk mengukur tahap penguasaan asas pelajar pada peringkat sekolah rendah dan menengah rendah.
Menurutnya melalui peperiksaan tersebut membolehkan hipotesis dan diagnostik pelan tindakan susulan dapat dilaksanakan.
Kata beliau pendekatan mengurangkan tekanan akademik ada kaitan dengan sokongan pembelajaran di rumah dan sekolah.
“Kelemahan sistem pengajaran dan pembelajaran khususnya di kawasan pedalaman dan beban kurikulum dianggap tidak relevan dengan keperluan sebenar pelajar.
“Sistem persekolahan tanpa orientasi peperiksaan hanya akan melahirkan generasi pelajar yang tidak kompetitif dari segi akademik atau kemahiran insaniah di samping bakat seni dan domain psikomotor serta kokurikulum.
“Peperiksaan berpusat masih diperlukan untuk menilai dan mencerakin aspek holistik tahap domain pelajar termasuk mengesan penguasaan 3M pelajar pada peringkat awal persekolahan,” ujarnya.
0 Comments