Ticker

6/recent/ticker-posts

Lebih setahun isu harga padi tak selesai



Oleh M FAQIH

PADA September 2023 tiba-tiba beras tempatan hilang di pasaran. Orang ramai sukar mencarinya di pasaran. Tiada di pasar raya atau kedai runcit. Mengapa tiba-tiba beras putih tempatan ghaib. 

Fenomena itu berlaku berikutan harga beras putih import meningkat 36 peratus pada awal September 2023. Berlaku kenaikan daripada RM2,350 kepada RM3,200 satu tan metrik.

Ketika itu Padiberas Nasional Bhd (Bernas) memberitahu harga baharu meningkat sebanyak RM850 satu tan metrik atau 85 sen sekilogram.

Alasannya kenaikan tersebut bagi pelarasan supaya selari dengan harga global.

Kalau kita congak bermakna dalam tempoh 16 bulan, isu beras tempatan hilang gagal ditangani kerajaan Madani. Apa cerita ni.



Perkara itu turut dilontar anggota Exco Kerajaan Terengganu, Dr Azman Ibrahim. Beliau menganggap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) gagal menyelesaikan isu padi dan beras. 

“Apakah ada kepentingan pihak tertentu yang ingin dilindungi sehingga kementerian hilang kejantanan,” katanya. 

Sedangkan pesawah berdepan dengan pelbagai kenaikan kos mengusahakan tanaman padi. Kosnya meliputi membajak sawah, meratakan sawah, upah jentuai, tambang lori dan pelbagai lagi.



Angkara kenaikan diesel

Inilah yang dinamakan sebagai kesan berantai. Peningkatan kos terpaksa ditanggung pesawah berikutan kenaikan harga diesel. Ia tidak dapat dinafikan lagi. Tanyalah petani seperti Pak Mat atau Dollah di Permatang Pauh. 

Pada 9 Jun 2024 kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada RM3.35 seliter. Kenaikan itu ekoran perlaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api.

Sedangkan harga lama RM2.15 seliter di semua stesen minyak. Penetapan tersebut dibuat kerajaan Madani mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata pada Mei 2024 mengikut formula 'Automatic Pricing Mechanism'.

Sebelum pelarasan semula, harga diesel di Malaysia dijual empat kategori mengikut subsidi iaitu RM1.65 bagi nelayan; RM1.88 (pengangkutan awam darat) dan RM2.15 (kenderaan komersial dan persendirian).

Belum pun selesai isu beras tempatan hilang, kerajaan Madani menetapkan pula harga lantai belian padi pada RM1,300 per tan. 

Dr Azman menyifatkan kementerian terbabit begitu berbelit-belit menyelesaikan isu harga padi.

“Sejak setahun lepas lagi saya memberi pandangan sewajarnya harga lantai belian padi dinaikkan dari RM1,300/tan kepada satu harga yang lebih munasabah antara RM1,500-RM1,800/tan. 

“Perlu difahami peningkatan harga padi akan meningkatkan harga jualan beras. Rasional harga beras tempatan dinaikkan sedikit daripada RM2.60/kg sekarang. 

“Kalau RM2.80-RM3/kg rakyat boleh terima. Ia lebih baik daripada beras tempatan yang ditukar menjadi beras import dan dijual dengan harga beras import lebih RM3.80/kg,” ujarnya.

 Kata Dr Azman pandangan tersebut disuarakan pada mesyuarat bersama menteri sebelum ini. 

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri tidak ada bidang kuasa bagi mengawal harga belian padi. 

Namun, apa yang kerajaan Terengganu laksanakan iaitu membuka sekatan penjualan padi dari sawah-sawah di negeri itu. Ia boleh dijual ke mana-mana kilang yang menawarkan harga paling tinggi. 

“Alhamdulillah, sekarang harga belian padi di Terengganu meningkat kepada RM1,550/tan,” ujarnya.

Kegagalan KPKM juga disuarakan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah). 




Bukan realiti


NGO terbabit membantah penetapan harga belian padi RM1,300 per tan yang diputuskan pada mesyuarat pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras, baru-baru ini.

Pengerusi PeSawah, Abdul Rashid Yob menegaskan penetapan harga itu tidak adil dan tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi sekarang.

Oleh itu beliau tanpa berselindung mendesak kerajaan mengkaji semula penetapan harga minimum belian padi.

Isu terbabit juga mendapat perhatian serius Perikatan Nasional (PN). 

Bekas Menteri Pertanian Dr Ronald Kiandee turut meluahkan perasaan kecewa terhadap kerajaan kerana gagal menyelesaikan isu keterjaminan makanan negara.



“Penetapan harga lantai padi pada RM1,300 per tan ‘membunuh’ kehidupan pesawah sekali gus mencerminkan kegagalan kerajaan,” kata beliau yang juga Ketua Portfolio Pertanian dan Keterjaminan Makanan PN. 

Kegagalan menangani isu asas pastinya menjejaskan keutuhan kerajaan Madani. Ada baiknya sebelum kerajaan Madani ditolak rakyat, pindah segera menteri pertanian ke kementerian lain.   

Ini kerana Mad Sabu mungkin sukar disingkir daripada kabinet kerana beliau merupakan Presiden Parti Amanah Negara. Amanah adalah rakan kongsi kerajaan Madani. Beliau juga rapat dengan Anwar Ibrahim.   



Setidak-tidaknya boleh mengisi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Menteri Pelancongan Tiong King Sing sudah banyak mencalar kerajaan Madani. Elok Tiong dibawa pulang ke Sarawak.

Post a Comment

0 Comments