Ticker

6/recent/ticker-posts

ASATIZAH PERLU IKUT NASIHAT ULAMA HARAKI – EXCO DAKWAH

Oleh: Norzana Razaly

Kredit foto: Media Menteri Besar

KOTA DARULNAIMl, 26 Januari – Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta Kelantan YB Mohd Asri Mat Daud, menyeru para ustaz dan ulama agar meneladani pesanan tokoh ulama haraki dan negarawan Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) yang menegaskan pentingnya ulama sebagai pewaris para nabi.

YB Mohd Asri memetik pesanan TGHH yang mengingatkan bahawa ulama bukan sahaja pembimbing ilmu tetapi juga pemimpin perjuangan yang menyatukan ummah dalam menghadapi cabaran politik antarabangsa dan domestik.

Katanya, TGHH sering menekankan bahawa setiap nabi memiliki sahabat-sahabat setia yang menjadi pendukung dakwah mereka.

"Sahabat-sahabat inilah yang menerima ilmu dan meneruskan perjuangan para nabi. Atas asas tersebut, para ulama memiliki tanggungjawab besar untuk memimpin dan memberi peringatan kepada umat Islam," catat YB Mohd Asri menerusi laman sosialnya, pada Sabtu.

Beliau turut mengutip nasihat TGHH berkenaan contoh ulama besar seperti Sheikh Abdul Hamid bin Badis dan Sheikh Abdul Karim Al-Jazairi di Algeria, Sheikh Umar Mukhtar di Libya, dan Sheikh Abdul Samad Al-Falimbani yang syahid di Patani, sebagai bukti bahawa ulama yang bersatu mampu menentang penjajah dan mempertahankan agama.

Menurut YB Mohd Asri lagi, TGHH yang juga Ahli Parlimen Marang itu mengingatkan bahawa ulama wajib bersama-sama dalam jemaah Islam agar tidak hanyut dalam arus peredaran zaman.

"Ulama yang dihormati dan mempunyai pengikut yang ramai adalah mereka yang berjuang menegakkan syiar Islam, seperti para imam mazhab yang kita jadikan pedoman," tulisnya sebagai mengutip kata-kata TGHH semasa TGHH menyampaikan ucaptama Ijtima’ Ulama Rabbani Peringkat Kebangsaan 1.0 di Markaz Dewan Ulama (MADU), Labok, Machang, semalam.

Program yang dirasmikan oleh Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd. Nassuruddin Daud itu dihadiri 1000 ulama dan asatizah dari seluruh negara yang bersama-sama mengukuhkan komitmen dalam menjunjung agenda perjuangan Islam.




Post a Comment

0 Comments