Ticker

6/recent/ticker-posts

EXCO PERTANIAN KELANTAN KE KPKM, BINCANG KERJASAMA PROJEK PEMBANGUNAN PERTANIAN

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 26 Januari- Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Kelantan berkunjung hormat ke pejabat Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak pada 23 Januari lepas.

Kunjungan berkenaan membincangkan kerjasama projek pembangunan pertanian di antara kerajaan negeri dan KPKM.

Dato' Tuan Mohd Saripudin berkata, antara isu yang dibincangkan ialah pengurusan saliran air ke sawah padi di kampung Alor Mudu dan kampung Jubakar Tumpat, muara laguna Semerak yang merupakan lokasi ternakan ikan kerapu serta kemasukan ternakan haram ke Kelantan.

"Terima kasih kepada KPKM atas maklum balas positif terhadap isu-isu yang dibangkitkan.

"Kita berharap kerjasama ini terus diperkukuhkan untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi dan memastikan sektor pertanian dan penternakan di Kelantan terus maju," katanya menerusi catatan di media sosial milikny, pada Jumaat.

Sementara itu, KPKM juga menerusi kenyataan di media sosialnya mengakui kerjasama strategik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan sangat  penting bagi melancarkan pelaksanaan projek pembangunan pertanian di Kelantan.

"Perkara ini menjadi fokus dalam sesi kunjungan hormat Exco Pertanian Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin kepada KSU KPKM, Datuk Seri Isham Ishak, "kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, pada tahun 2024 sebanyak 11 projek pembangunan pertanian bernilai RM8.17 juta telah berjaya dilaksanakan melalui kerjasama erat di antara KPKM dengan Kerajaan Negeri Kelantan.

"Projek-projek ini merangkumi pembangunan infrastruktur pengairan, ternakan ayam, akuakultur ikan air tawar, penanaman bawang, jagung dan pemprosesan makanan.

"Salah satu inisiatif utama dalam projek pembangunan pertanian ini adalah pemodenan ternakan ayam, seperti pembinaan struktur reban ayam automatik di Agro Valley di Rong Chenok, di samping memanfaatkan tanah terbiar bagi meningkatkan hasil pertanian di Negeri Kelantan.

"Kerjasama strategik ini akan diteruskan pada tahun 2025, dengan harapan semua projek pembangunan sektor pertanian dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan," kata kenyataan itu lagi.

Delegasi Kerajaan Negeri Kelantan itu turut disertai Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ir. Ts. Gs. Dr Siti Fairuz Zakaria, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Yahasmida Yaacob, Pengarah Jabatan Pertanian Norbahani Zakaria dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Nazwan Ismail.

Manakala pihak KPKM pula turut dihadiri  Setiausaha Sulit Menteri KPKM Aina Azza Zaid, Setiausaha Bahagian Pembangunan Norazli Indzam dan Setiausaha Bahagian Sekuriti Makanan Azman Azi Jamaludin.

Diiringi, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Shamsul Akbar Sulaiman dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pertanian Johan Abdullah.

Post a Comment

0 Comments