Ticker

6/recent/ticker-posts

IBU BAPA DISERU TADABUR AL-QURAN BERSAMA ANAK-ANAK

oleh: Norzana Razaly 

PASIR MAS, 11 Januari – Ibu bapa diseru menyuburkan amalan bertadabur al-Quran bersama anak-anak sempena bulan Rejab menuju Ramadan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir YB Mohamad Nasriff Daud menyeru ibu bapa agar menanam sikap gemar bertadabur Al-Quran dalam kalangan ahli keluarga.

“Amalan mentadabur Al-Quran mampu membimbing kita untuk mengamalkan suruhan dan menjauhi larangan Allah.

"Marilah kita hidup dengan Al-Quran agar hati kita tidak terkunci daripada menerima kebenaran,” katanya.

Beliau juga menyaran ibu bapa memahami Islam dengan lebih mendalam, khususnya melalui penguasaan Bahasa Arab.

Menurutnya, mendalami Bahasa Arab membolehkan seseorang merasai keajaiban dan keberkatan selepas bertadabur dengan Al-Quran.

“Sebab itulah penting untuk kita dan anak-anak memahami Bahasa Arab. Ilmu ini adalah asas untuk mengenal punca sumber ilmu, iaitu Al-Quran,” katanya.

Beliau yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan industri di Amerika Syarikat turut berkongsi pengalaman peribadinya yang berasa kekurangan kerana tidak menguasai Bahasa Arab, sehingga menyukarkannya mendalami makna Al-Quran.

“Selepas pulang dari menunaikan umrah, saya mengambil langkah menyertai kelas Bahasa Arab dan tahsin Al-Quran selepas jemaah Subuh setiap Jumaat dan Sabtu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ihtifal Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah Rendah Islam (SERI) Al-Furqan dan Maahad Tahfiz Wa Ta'lim Al-Furqan 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Al-Fateh, Kolej Kemahiran Tinggi MARA Lubok Jong, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, YB Mohamad Nasriff turut menasihati ibu bapa supaya mengawal penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak agar suasana harmoni dan meriah semasa berziarah bersama keluarga dapat dikembalikan seperti dahulu.

Majlis tersebut dihadiri lebih 500 hadirin termasuk ibu bapa, guru, dan pelajar yang diraikan atas kecemerlangan mereka dalam pelbagai bidang akademik, hafazan Al-Quran dan kokurikulum.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari.



Post a Comment

0 Comments