Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN KOMITED JALIN KERJASAMA DENGAN PERSEKUTUAN, TANGANI ISU RAKYAT

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 12 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan terus menzahirkan komitmen menjalin kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha menangani pelbagai isu rakyat, termasuk masalah pemilikan strata.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata usaha tersebut adalah bukti nyata kejayaan sinergi antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Inisiatif penyelesaian hakmilik strata Skim Desa Maju Padu Apartment melalui Tabung Khas Hakmilik Strata bermula pada Mac 2021 dan berjaya mencapai matlamatnya pada Ogos 2024.

"Pengeluaran geran hak milik strata pula telah dilaksanakan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan,” katanya menerusi kenyataan di media sosial pada Khamis.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran proses pengeluaran geran tersebut, seterusnya menyelesaikan isu pemilikan strata yang sekian lama membelenggu rakyat.

“Komitmen ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan prinsip Penghayatan Membangun Bersama Islam. Dengan semangat kerjasama yang kukuh, insya-Allah lebih banyak kejayaan dapat dicapai demi manfaat dan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Terdahulu, Menteri Besar menghadiri Majlis Penyampaian Mock Title Hakmilik Strata bagi Skim Desa Maju Padu Apartment, Kampung Cina, Kota Bharu, bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad.

Majlis itu turut dihadiri Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr Izani Husin, Presiden Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) YB Dato' Abdul Rahman Yunus dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan Dato' Rosnazli Amin.




Post a Comment

0 Comments