Ticker

6/recent/ticker-posts

'INDAHNYA KELANTAN' DILANCAR 1 FEBRUARI, TERUSKAN MOMENTUM TMK 2024

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 21 Januari – Kempen pelancongan baharu bertemakan ‘Indahnya Kelantan’ akan dilancarkan bertujuan memperkukuhkan imej negeri Kelantan sebagai destinasi pelancongan budaya dan keindahan semula jadi, sekali gus meneruskan momentum Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata majlis pelancaran tersebut dijadualkan berlangsung di kawasan parkir Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu.

Menurutnya, program tersebut akan menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan produk dan keistimewaan tempatan kepada khalayak lebih luas, selain menyemarakkan semangat kekitaan rakyat Kelantan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor

“Sesi pelancaran utama kempen ‘Indahnya Kelantan’ akan diadakan pada 1 Februari 2025, pukul 8.30 malam, dengan pelbagai acara istimewa seperti pelancaran lagu tema, persembahan kebudayaan, dan cabutan bertuah.

“Program ini adalah usaha berterusan untuk mempromosikan budaya, kesenian, dan tempat ikonik pelancongan negeri yang terkenal sebagai gedung budaya, keindahan alam, serta rakyatnya yang berbudi bahasa,” jelasnya, ketika dihubungi, hari ini.

Beliau juga menjangka pengunjung pasti teruja untuk memeriahkan pesta jualan makanan dan pakaian, aktiviti kesukanan, persembahan dikir barat, malam muzikal dan pameran pelancongan.

Oleh itu, beliau mempelawa semua rakyat Kelantan dan pelancong luar negeri untuk hadir memeriahkan suasana, menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan, dan menyaksikan keunikan negeri ini dalam suasana yang penuh warna-warni.

Post a Comment

0 Comments